KESESAKAN teruk di Jalan Seremban-Kuala Pilah ketika cuti sambutan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini menimbulkan banyak rungutan dan keluhan pengguna laluan tersebut. Apa tidaknya, mereka terpaksa menempuh perjalanan sehingga lima jam hanya dari Kuala Pilah ke Seremban meskipun kebiasaan mengambil masa sekitar 45 minit sahaja.
Isu kesesakan di laluan berkenaan bukanlah perkara baharu, sudah berlaku lama. Setiap kali cuti musim perayaan, begitulah keadaannya. Cuti hujung minggu juga sama, memang perkara biasa.
Bagaimanapun, kesesakan melampau yang berlaku baru-baru ini dilihat diburukkan lagi dengan projek penggantian jambatan berdekatan Ulu Bendul. Kerja menaik taraf yang dijalankan sejak 2021 itu menyebabkan lorong ditutup dan pengguna jalan raya terpaksa mengikut laluan lencongan.
Bagaimanapun, kerja-kerja projek berkenaan telah berjaya diselesaikan baru-baru ini.
Peningkatan jumlah kenderaan sudah tentu menjadi penyebab utama kesesakan, apatah lagi Jalan Seremban-Kuala Pilah turut menjadi pilihan pengguna untuk ke Pantai Timur.
Ada pula yang berkata, terdapatnya gerai-gerai menjual itik salai khususnya di Tanjung Ipoh turut menjadi penyumbang kesesakan berkenaan. Mereka yang mahu membeli akan berhenti di bahu jalan. Tindakan mereka ini kemudian memaksa pengguna jalan raya lain terpaksa memperlahankan kenderaan. Ditambah kehadiran kenderaan-kenderaan berat, situasi sedemikian memang menguji kesabaran.
TIDAK BOLEH BERLARUTAN
Isu kesesakan Jalan Seremban-Kuala Pilah ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Pertambahan jumlah kenderaan semasa terutama pada musim cuti tidak boleh dihalang.
Pengguna Jalan Seremban-Kuala Pilah tidak boleh terus dibiarkan berdepan pengalaman terperangkap berjam-jam dalam kesesakan setiap kali melaluinya. Ia bukanlah sesuatu yang baik khususnya untuk pembangunan di kawasan Negeri Sembilan Timur meliputi daerah-daerah Kuala Pilah dan Jempol.
Kerajaan negeri sudah tentu lebih maklum mengenai isu ini dan satu-satunya penyelesaian segera adalah dengan melakukan pelebaran jalan. Namun, ia bukanlah satu pilihan yang baik kerana akan mengakibatkan berlakunya pengambilan tanah. Ia dilihat sukar untuk dilaksanakan kerana sepanjang jalan itu mempunyai banyak rumah penduduk kampung. Malahan, kebanyakan tanah juga merupakan tanah adat.
Meskipun akan mengambil masa lama, satu-satunya jalan penyelesaian bagi menangani isu ini adalah dengan membina jalan baharu yang boleh menghubungkan terus antara Seremban dan Kuala Pilah malah sehingga ke Jempol.
Difahamkan, sebelum ini sudah terdapat cadangan untuk membina sebuah lebuh raya yang menghubungkan kedua-dua kawasan ini malah ia juga telah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan. Bagaimanapun, cadangan pembinaan yang akan melibatkan tanah-tanah kerajaan dan kawasan pinggir hutan itu hanya tinggal cadangan selepas berlakunya peralihan kerajaan pada 2018.
Cadangan tersebut kemudian timbul lagi malah ia disebut-sebut sebagai modal kempen calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. Perkembangan terbaharunya hanyalah menerusi kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, baru-baru ini.
“Kerajaan negeri juga ada terima cadangan daripada pihak swasta bagi pembinaan lebuh raya, tetap sampai hari ini syarikat tersebut belum ada kemampuan. Kemungkinan menghadapi masalah kewangan menyebabkan ia tertangguh,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu kesesakan tersebut.
Pembinaan lebuh raya ini perlu dijadikan kenyataan. Ia perlu diberikan keutamaan oleh kerajaan baharu pada hari ini. Mungkin menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang, komitmen untuk pembinaannya menjadi sesuatu yang enak untuk didengari oleh rakyat. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Negeri Sembilan.










