Empat pegawai SMART, anjing pengesan Denti direhatkan

Empat pegawai SMART, anjing pengesan Denti direhatkan

SEORANG wanita Syria dikeluarkan dari runtuhan bangunan yang runtuh akibat gempa bumi di Hatay, Turkiye.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat pegawai dari pasukan penyelamat kedua Malaysia (MAS-10) dan seekor anjing pengesan akan direhatkan sementara waktu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nurdagi, Gaziatep, Turkiye selepas mengalami masalah kesihatan.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Pasukan MAS-10, Abdul Manaf Che Isa berkata, empat pegawai berkenaan direhatkan selepas mengalami demam selain tangan dan bahu mereka cedera aki­­bat reput fros kerana terdedah kepada suhu yang terlalu sejuk.

Katanya, khidmat anjing pengesan Denti juga direhatkan sementara kerana anjing baka la labrador itu mengalami selesema.

STABIL

“Namun begitu, pegawai dan Denti telah menerima rawatan sebaiknya dan berada dalam keadaan stabil.

“Penugasan pasukan MAS-10 di ground zero masih mencukupi dan tidak terjejas meskipun ada di antara kami tidak dapat diturunkan ke lokasi,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

PASUKAN SMART menggunakan peralatan khas membuat imbasan ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Nurdagi, Turkiye. – FACEBOOK SMART

Ditanya mengenai perkembangan semasa operasi SAR di Turkiye, Abdul Manaf berkata, sebanyak 34 mangsa gempa bumi yang terperangkap telah diselamatkan kedua-dua pasukan SMART sehingga semalam.

Jelas Abdul Manaf, sebanyak lima mangsa ditemukan selamat dan masih hidup oleh pasukan pasukan MAS-01 semalam manakala lima lagi mayat ditemukan MAS-10 di sektor berbeza.

“Kami telah mengambil masa antara satu sehingga dua jam bagi satu-satu mengesan dan membawa keluar mangsa.

TELITI

“Operasi ini perlu dilakukan dengan penuh teliti mengambil kita faktor keadaan runtuhan bangunan itu bagi memastikan tiada kecederaan tambahan ketika membawa keluar mayat mangsa yang terperangkap.

“Selain itu, kita juga perlu analisis struktur runtuhan bangunan agar memastikan keselamatan pasukan keselamatan kita di ground zero terjamin,” jelasnya.

ANGGOTA SMART memotong besi dalam usaha mencari dan menyelamatkan mangsa yang terperangkap. – FACEBOOK SMART

Dalam perkembangan bera­singan, usaha pasukan SAR dari Malaysia menggali terowong di kawasan gempa bumi di Gaziantep berjaya menyelamatkan enam mangsa bencana itu.

Komander Kontinjen, Mohd. Khairul Jamil berkata, semua lima mangsa yang diselamatkan itu, berjaya bertahan selama 129 jam, selepas kejadian gempa bumi kuat melanda Turkiye dan Syria pada Isnin lalu, sebelum ditemukan pasukan oleh anggota pasukan MAS-01.

Mereka berjaya diselamatkan selepas pasukan MAS-01 bertungkus-lumus menggali terowong sepanjang 8.5 meter di kawasan itu.

PASUKAN SMART meninjau celah-celah runtuhan bangunan untuk mencari mangsa yang terperangkap di Nurdagi, Turkiye.

Berita gembira itu turut dikongsikan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Turkiye melalui hantaran di Twitter kelmarin.

Pasukan penyelamat kedua MAS-10 akan menumpukan pencarian mangsa gempa bumi yang mungkin masih hidup namun terperangkap dalam runtuhan bangunan di Nurdagi.

Keadaan itu bagaimanapun bergantung kepada tempoh survival mangsa-mangsa berke­naan memandangkan mereka sudah lama terperangkap.

Selain itu, mangsa juga ber­depan cuaca sejuk melampau dengan bacaan kosong hingga tiga darjah Celcius pada waktu siang dan boleh menurun hingga -6 darjah Celcius pada waktu malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×