MEMIMPIN 1.4 juta penjawat awam, tentunya satu tugas berat. Apatah lagi perlu menangkis serangan kiri kanan terhadap golongan itu yang sering diberi persepsi buruk masyarakat hanya kerana kesalahan segelintir yang tidak amanah, salah guna kuasa, malah terjebak kegiatan gejala rasuah.
Terbaharu, skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 turun satu peratus menjadikan CPI Malaysia 2022 adalah 47 peratus berbanding 48 peratus pada 2021.
Pada 2019, CPI negara adalah 53 peratus, tetapi menurun kepada 51 peratus (2020) dan turun lagi kepada 48 (2021). Kejatuhan pada 2022 merupakan tiga tahun berturut-turut. ‘Pencapaian’ ini tentu sekali memberi tempias negatif kepada penjawat awam.
Menjadi orang kanan kepada empat Perdana Menteri (PM) dalam empat kali perubahan tampuk kepimpinan negara, kredibiliti Tan Sri Mohd. Zuki Ali cukup luar biasa. Secara tradisi, setiap kali PM bertukar, jawatan Ketua Setiausaha Negara (KSN) juga pasti berubah muka.
Namun, Mohd. Zuki masih kekal berada di jawatan itu sejak dilantik pada 1 Januari 2020 dan melalui zaman kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan terkini bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebagai penjawat awam, berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah atau government of the day adalah perkara asas. Jika dahulu, penukaran Kerajaan Persekutuan dari satu parti politik ke satu parti lain bukanlah satu kebiasaan. Namun, situasi kini amat berbeza.
Perubahan tampuk kepimpinan sudah menjadi satu normalisasi bagi situasi politik di Malaysia dan negara menghadapi perubahan landskap politik beberapa kali dalam tempoh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hingga PRU15. Namun, Mohd. Zuki mengingatkan penjawat awam supaya tetap meneruskan komitmen dan kebertanggungjawaban untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan melaksanakan dasar kerajaan yang memerintah.
Dan setiap kali pertukaran kerajaan, sudah pasti polisi serta dasar berbeza dan ia perlu dilalui Mohd. Zuki untuk mengadaptasikan setiap polisi mengikut hala tuju kepimpinan. Konsep Malaysia Madani yang ditonjolkan PM menerajui kerajaan perpaduan sebagai hala tuju dan strategi pentadbiran negara amat penting didalami dan difahami semua peringkat penjawat awam kerana ia membawa pengertian lebih jauh daripada takrifan kebiasaan.
Ketika menyampaikan amanat kepada kumpulan penjawat awam pada Khamis lalu, Mohd. Zuki mahu agenda Malaysia Madani dizahirkan pelaksanaannya dalam bentuk tindakan dan gerak kerja yang pantas dan berimpak tinggi. Untuk itu, beberapa gerak kerja telah dan akan dilaksanakan dengan kadar segera.
Pertama, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) yang dahulunya dikenali sebagai Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) akan bertindak sebagai agensi yang bertanggungjawab memastikan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan program dan inisiatif bitara Malaysia Madani oleh kementerian dan agensi berjalan lancar.
Kedua, agensi Pusat seperti pengurusan sumber manusia oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, pengurusan kewangan oleh Kementerian Kewangan, pengurusan projek oleh Unit Pemantauan dan Penyelarasan, pengurusan digital oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, serta perancangan ekonomi oleh Kementerian Ekonomi perlu berperanan dengan lebih proaktif sebagai pemacu strategi dalam Kerangka Strategik Malaysia Madani.
COVID-19
Mohd. Zuki berkata, gerak kerja ketiga ialah setiap teras strategik dan nilai asas Malaysia Madani perlu diperhalusi pelaksanaannya. Sebagai contoh di dalam Teras Pertama, iaitu Memperkasa Usahawan dan Industri Kecil Sederhana (IKS), apakah strategi, mekanisme pelaksanaan, implikasi kewangan, sasaran dan keberhasilan yang diharapkan? Hal ini perlu diperjelaskan dan bersifat telus supaya rakyat nampak dan merasai manfaat keberhasilannya, bukan sekadar tertera di atas kertas semata-mata.
Pada awal kepimpinan Mohd. Zuki, beliau memperkenalkan prinsip trust to serve berikutan isu ketidakstabilan politik yang melanda negara ketika itu yang menuntut penjawat awam terus setia kepada kerajaan yang memerintah.
Semasa wabak Covid-19 merebak seluruh dunia sehingga memaksa negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau memperkenalkan pula prinsip F.A.S.T.E.R bagi membantu rakyat dalam tempoh pandemik.
Kemudiannya, matlamat S.W.I.F.T diketengahkan sebagai memacu fasa pemulihan ekonomi negara. Prinsip-prinsip tersebut dikemukakan untuk menggerakkan organisasi dan perkhidmatan agar lebih pantas, cekap dan berkesan semasa pandemik dan pascapandemik.
Bagi melonjakkan peranan penjawat awam, Mohd. Zuki yang disambung perkhidmatannya sehingga 2024, kini menampilkan komitmen The G.R.E.A.T Civil Service untuk mengangkat asas nilai individu dan organisasi untuk menyokong SCRIPT: For a Better Malaysia yang dipelopori PM.
G.R.E.A.T adalah rumusan akronim kepada G – good governance (tadbir urus terbaik); R – responsible (bertanggungjawab); E – empathy (ihsan); A – accountable (kebertanggungjawaban) dan T – tenacity of purpose (fokus pada matlamat).
Tadbir urus yang dilaksanakan penjawat awam dipandu melalui peraturan dan prosedur yang digubal dengan mengambil kira nasihat pemegang taruh. Kerajaan perlu menerapkan mekanisme akauntabiliti yang telus seperti tadbir urus terbaik ini bagi mengelakkan salah guna kuasa berulang.
Kepimpinan bertanggungjawab (responsible) akan menghasilkan organisasi dan perkhidmatan yang bertanggungjawab. Antara ciri perkhidmatan yang bertanggungjawab adalah mempunyai sense of urgency. Mempunyai sense of urgency menjadikan kita melihat sesuatu perkara itu penting dan bersegera menyelesaikannya, tidak menunggu sesuatu terjadi baru bertindak. Kesegeraan bertindak mendorong untuk mengamalkan proaktif dalam menangani sesuatu perkara.
Empathy (ihsan) bermaksud meletakkan diri kita di tempat pelanggan atau sebagai penerima perkhidmatan. Sebagai contoh, perkhidmatan kaunter adalah perkhidmatan barisan hadapan yang penting. Orang awam yang menjadi pelanggan mempunyai kehendak dan ekspektasi tinggi terhadap perkhidmatan kaunter yang cepat dan tepat serta singkat masa menunggu merupakan harapan pelanggan.
A – accountable (kebertanggungjawaban). Nilai akauntabiliti atau kebertanggungjawaban ini menggambarkan kesungguhan, komitmen dan kesetiaan perkhidmatan awam dalam melaksanakan komitmen dan janji seperti yang termaktub dalam Ikrar Perkhidmatan Awam bagi memacu kecemerlangan berkhidmat demi rakyat untuk negara.
T – tenacity of purpose (fokus pada matlamat). Penjawat awam harus bersungguh-sungguh melaksanakan tugas dengan memusatkan fikiran bahawa kegagalan kita menyempurnakan tugas akan menyebabkan matlamat akhir juga akan gagal. Bukan sekadar memenuhi atau mencapai sasaran kerja utama (KPI) ditetapkan. Daya tahan, daya juang utuh sama ada fizikal dan mental akan dapat mencapai matlamat yang diinginkan sekalipun berdepan dengan kesukaran.
Peringatan Mohd. Zuki ini jika diterjemahkan dalam menggalas tugas yang diamanahkan, pastinya rakyat tidak lagi merungut, mengeluh malah menjadi sasaran kemarahan apabila setiap kali berurusan dengan sektor kerajaan. Kikis semua label negatif yang diberikan masyarakat. Jangan kerana hanya anda seorang bersikap kerja sambil lewa, mengular, tidak cekap, habis semua terpalit! – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Putrajaya.










