MELAKA: Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menjadi pemimpin pertama di negeri ini mengumumkan akan bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dalam pemilihan parti kali ini.
Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas berkata, borang pencalonan bakal diserahkan dalam tempoh pendaftaran bagi calon-calon bertanding di peringkat bahagian dan pusat iaitu bermula dari 13 Februari sehingga 26 Februari ini.
Katanya, berdasarkan pengalaman yang dimiliki, beliau yakin dapat membantu menyerlahkan UMNO kepada masyarakat, sekali gus ingin mengukuhkan kembali kedudukan parti itu.
“Dengan penuh keinsafan dan berbekalkan pengalaman dalam politik bermula sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan, Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Exco Pemuda UMNO, Bendahari Pemuda UMNO dan kini Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka. Saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ahli MKT UMNO pada pemilihan parti penggal ini.
“Di atas semangat untuk terus menyumbang kepada parti, saya percaya dengan pengalaman yang ada akan dapat membantu menyerlahkan lagi UMNO kepada masyarakat di negara ini, sekali gus mahu memperkukuh parti keramat ini.
“Saya juga mahu bersama-sama pucuk pimpinan memastikan parti ini terus dilihat relevan kepada semua golongan masyarakat terutama kepada generasi masa depan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seramai tiga ketua bahagian dan seorang pemangku ketua bahagian UMNO di Melaka dijangka dicabar dalam pemilihan parti peringkat bahagian pada 18 Mac ini.
Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman; Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali; Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman.
Setakat ini difahamkan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah dan Abdul Razak dijangka menang tanpa bertanding memandangkan tiada calon lain menawarkan diri. – UTUSAN










