Sogokan atau sedekah, biar mahkamah tentukan

Sogokan atau sedekah, biar mahkamah tentukan

Pendakwaan
ABU TALIB OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya mah­ka­mah yang berkuasa menjawab berhubung persoalan sama ada pemberian wang terhadap pe­ngundi dianggap sebagai se­dekah seperti dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang atau sogokan ketika petisyen Pi­lihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) didengar kelak.

Meskipun ada pihak mem­bang­kitkan persoalan pemberian ketika sebelum atau se­ma­sa pilihan raya bertujuan menderma dan membantu rakyat, hakikatnya Akta Ke­salahan Pilihan Raya 1954 se­cara terperinci menjelaskan apa-apa pemberian wang kepada pengundi adalah perbuatan membeli undi dan ia adalah ra­suah pilihan raya.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, hakim bicara per­lu melihat terlebih dahulu tujuan pemberian itu sekadar sekadar menolong rakyat yang susah atau mahu mempengaruhi pengundi untuk memilih calon terlibat dalam kertas undi.

Namun beliau melihat sebarang pemberian bermula tem­poh rasmi kempen PRU15 dianggap sebagai sogokan ke­ra­na perbuatan itu dilakukan ketika pilihan raya berlangsung.

“Dua isu utama yang perlu menjadi persoalan ini yang perlu dijawab mahkamah nanti sama ada pemberian itu untuk sedekah atau meraih undi. Perkara ini termasuklah membantu menghulurkan wang tambang kepada pengundi tidak kemampuan untuk pulang mengundi, mahkamah kena lihat apakah tujuan sebenar pemberian ini.

“Adakah ia benar-benar sogokan atau tidak, kalau benar sogokan berlaku maka menjadi kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya di sini semalam.

Minggu lalu, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah sedekah telah mencetuskan pelbagai reaksi dan kritikan pelbagai pihak.

Ahli Parlimen Marang itu mengulas sebagai reaksinya terhadap tindakan UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman yang dimenangi calon Pas.

Bagi bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, sebarang pemberian kepada pengundi sebelum atau semasa pilihan raya sekali pun mempunyai niat sedekah merupakan satu kesalahan sogokan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana secara terperinci menjelaskan pemberian wang kepada pengundi adalah perbuatan membeli undi dan ia adalah rasuah pilihan raya.

Dalam masa sama Abu Talib kemudian mempersoalkan tujuan pemberian kepada pengundi sebelum atau semasa pilihan raya berlangsung sekali pun mempunyai niat sedekah ia bertentangan dengan undang-undang.

“Mengapa beri (sedekah) ketika pilihan raya? Bukannya pada waktu lain, jadi apakah niat mereka berbuat demikian?” katanya.

Justeru itu kata beliau, SPR perlu melakukan siasatan terperinci dakwaan tersebut manakala bukti-bukti hendaklah dikemukakan di mahkamah sewaktu petisyen pilihan raya didengar kelak.

“Sogokan ini mudah dibuktikan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berbanding Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana pemberian berlaku ketika pilihan raya. Jadi biarlah SPR siasat perkara ini.

“Begitu juga jika ada unsur sogokan dan pelanggaran lain Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, maka SPR perlu siasat dan keadilan perlu ditegakkan agar demokrasi tidak dicabuli oleh mana-mana pihak,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×