Pengguna gesa selesai segera isu bekalan telur

Pengguna gesa selesai segera isu bekalan telur

NURUL Iffah Ab. Hamid menyusun bekalan telur ayam yang semakin berkurangan di kedainya di Ketereh, Kota Bharu, Kelantan semalam. – UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pengguna di ne­geri ini mendedahkan mereka terpaksa ‘tawaf’ kedai runcit semata-mata mahu mendapatkan bekalan telur untuk kegunaan harian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang suri rumah, Mizema Ab. Rahman, 64, mengakui meskipun ‘penat’ namun itu pilihan yang ada kerana keba­nyakkan kedai runcit berdepan dengan kekurangan stok bahan mentah tersebut.

“Bukan itu sahaja, pengguna turut berdepan dengan kenaikan harga yang agak ketara berbanding sebelum ini dalam mendapatkan bekalan bahan mentah tersebut.

“Justeru, saya berharap masalah ini dapat diselesaikan segera memandangkan telur adalah keperluan asas yang amat diperlukan oleh rakyat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, tinjauan di beberapa kedai runcit dan pemborong di daerah ini mendapati berlaku pengurangan stok telur ayam dan hanya didapati dalam kuantiti yang amat sedikit.

Seorang pekerja kedai runcit, Nurul Iffah Ab. Hamid, 27, memberitahu, premisnya mendapat bekalan yang sedikit iaitu kurang separuh daripada biasa dan kadangkala tiada langsung telur ayam yang dihantar oleh pemborong kepadanya.

Katanya, premisnya sebelum ini pernah terputus bekalan te­lur dan hanya mendapat bekalan telur jenis omega yang dihantar oleh pemborong dua hari lalu.

“Ketiadaan bekalan telur bukan sahaja meresahkan peniaga, malah keadaan ini menyebabkan pelanggan merungut ekoran kekurangan bekalan serta harga telur juga turut meningkat berbanding sebelum ini.

“Telur jenis omega ini sedikit mahal berbanding telur biasa iaitu boleh mencecah sehingga 60 sen sebiji dan kami juga terpaksa mengehadkan pembelian memandangkan bekalan amat kurang,” ujarnya.

Seorang lagi pekerja kedai runcit, Nur Shahira Seman, 20, berkata, meskipun bekalan telur ayam berkurang namun bekalan minyak masak peket bersubsidi setakat ini masih mencukupi.

“Setakat ini, kita tidak mempunyai masalah dengan bekalan minyak masak peket bersubsidi kerana ia masih mencukupi dan setiap pelanggan yang datang boleh membeli seperti biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×