Hoki Piala Dunia: Malaysia atas landasan terbaik

Hoki Piala Dunia: Malaysia atas landasan terbaik

ARUL SELVARAJ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj yakin barisan pemainnya mampu melakarkan kejutan dalam aksi pembukaan Piala Dunia 2023 menentang Belanda.

Malaysia Tigers akan membuka tirai kejohanan yang berlangsung di Bhubaneswar-Rourkela, India menentang pasukan ranking ketiga dunia itu yang juga juara tiga kali Sabtu ini.

“Kalau kita tengok rekod dalam Piala Dunia bola sepak sekali pun, sentiasa ada kejutan yang berlaku dalam perlawanan pertama dan berharap pasukan negara dapat melakukan sesuatu menentang Belanda.

“Biarpun Belanda dalam ke­lompok tiga terbaik dunia, tsaya percaya tidak mudah un­tuk mereka bermain secara berpasukan dalam perlawanan pertama. Ini kerana, suasana, tekanan dan harapan yang di­letakkan dalam saingan Piala Dunia adalah berbeza.

“Jadi, saya percaya peluang untuk pasukan kita tetap ada. Barisan pemain juga telah bersedia sepenuhnya, kita juga ada melakukan kajian corak permainan mereka dan memperkemaskan bahagian yang perlu dalam pasukan,” katanya.

Skuad negara selamat tiba di India pada Sabtu lalu dan akan mengadakan persahabatan menentang Se­panyol hari ini sebagai pemanas badan terak­hir sebelum memulakan kempen Piala Dunia.

“Kami akan berbincang dengan jurulatih Sepanyol bagi menentukan berapa suku permainan yang akan diadakan sama ada dua atau empat selain kemungkinan untuk mengadakan pukulan penalti.

“Kami akan menggunakan setiap suku permainan sebagai simulasi menentang pasukan berbeza dalam saingan kumpulan. Perlawanan ini akan menjadi pemanas badan terbaik sebelum kami bertemu Belanda.

“Berdasarkan sesi latihan terakhir kami, semua pemain berada pada tahap terbaik mereka baik dari segi fizikal dan mental. Mereka sudah bersedia untuk memulakan saingan pada Piala Dunia kali ini,” katanya.

Dalam pada itu kata­nya, pengalaman pema­in penyerang, Faizal Saari ketika berkelana di bumi Belanda di­tagih menjelang aksi Kumpulan C itu.

Arul berkata, pasukan akan mendapatkan maklumat daripada Faizal yang beraksi dalam saingan liga utama Belanda, Hoofdklasse bersama ZSV Schaerweijde sejak Ogos tahun lalu sebagai rujukan.

“Dia bermain dengan ramai pemain skuad Belanda.

“Walaupun ada antara mereka bermain dalam liga di Belgium tetapi hampir 90 peratus bermain dalam Liga Belanda. Kami mahu mendapatkan mak­lumat mengenai beberapa individu pemain yang turut bersama pasukan kebangsaan Belanda kali ini,” katanya.

Selepas aksi bertemu Belanda di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela, Malaysian Tigers akan berdepan Chile sebelum menentang New Zealand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×