PM: Politik Sabah tenang - Utusan Malaysia

PM: Politik Sabah tenang

Datuk Seri Anwar Ibrahim melambaikan tangan kepada jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Aman semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keadaan politik di Sabah tenang ketika ini dan tidak berlaku cubaan menggulingkan kerajaan di negeri itu.

Menurut Perdana Menteri, beliau sendiri telah menghubungi semua pemimpin parti di Sabah dan beberapa isu telah dibincangkan dan diselesaikan susulan timbul ura-ura akan berlaku perubahan pentadbiran negeri itu sejak beberapa hari lalu.

“Saya telah hubungi semua, Datuk Seri Hajiji Noor (Ketua Menteri), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Presiden Parti Warisan) dan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (Pengerusi BN Sabah).

“Malah, perbincangan juga dilakukan dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Pengerusi BN) dan Anthony Loke (Setia­usaha Agung DAP). Nampaknya keadaan tenang sementara ini dan tiada apa-apa gejolak yang berlaku,” kata beliau ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Aman di sini semalam.

Bagi memastikan kestabilan politik di Sabah terjamin, Perdana Menteri berkata, beliau turut meminta Ketua Menteri untuk berbincang secara baik dengan parti-parti komponen.

“Saya nampak tidak ada apa-apa perkembangan cuma dimaklumkan ada beberapa isu dan saya minta Ketua Menteri bincang dengan baik bersama rakan-rakan di Sabah,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu dan kemuncaknya kelmarin, tersebar desas-desus cubaan menukar Ketua Menteri Sabah melalui ‘Langkah Kinabalu’ yang dikatakan ada kaitan dengan gerakan daripada pemimpin Warisan dan BN.

Satu sidang akhbar sepatutnya diadakan petang kelmarin oleh Warisan dan BN secara berasingan tetapi kedua-dua majlis tersebut dibatalkan tanpa perincian lanjut.

PEMIMPIN

Spekulasi turut tersebar kononnya Mohd. Shafie dan beberapa pemimpin UMNO serta PH Sabah bersedia menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, dipercayai ada kaitan dengan pertukaran Ketua Menteri.

Kerajaan baharu itu dikatakan bakal diwujudkan menerusi kerjasama BN dan Warisan dengan Mohd. Shafie dikatakan bakal dilantik semula sebagai Ketua Menteri.

Bagaimanapun, pecaturan tersebut tidak menjadi. Difahamkan antara puncanya kerana terdapat Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) BN Sabah yang tidak sepakat untuk be­kerjasama dengan Warisan.

Utusan Malaysia difahamkan, 11 daripada 17 ADUN BN Sabah masih kekal menyokong Ketua Menteri sedia ada dan pertemuan tujuh ADUN BN bersama Hajiji semalam me­nguatkan lagi dakwaan tersebut

Tanpa sokongan 11 ADUN tersebut, gabungan BN dan Warisan tidak mampu membentuk kerajaan kerana tidak memperoleh jumlah kerusi mencukupi iaitu sekurang-kurangnya 40 daripada 79 kerusi DUN Sabah termasuk enam ADUN Dilantik.

Timbalan Pengerusi BN Sabah, Datuk Yakub Khan mengetuai enam lagi ADUN BN bertemu Hajiji untuk menyatakan sokongan.

Enam ADUN BN yang lain ialah Datuk Andi Muhamad Suryady Bandy (Tanjung Batu), Datuk Mohd Hamsan Ag Supain (Sungai Sibuga), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Harun Durabi (Bengkoka), Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Raimie Unggi (ADUN Dilantik).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×