Laksana dasar 30 peratus pekerja wanita

Laksana dasar 30 peratus pekerja wanita

Majikan diingatkan agar mematuhi semua terma dalam Akta Kerja 1955 (Pindaann 2022).- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) boleh mencetuskan diskriminasi kepada golongan wanita sekiranya kerajaan tidak mewujudkan dasar sekurang-kurangnya 30 pe­ratus pengambilan pekerja melibatkan kumpulan jantina itu.

Perubahan akta yang menyaksikan penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari mungkin mengakibatkan majikan mengutamakan pekerja lelaki berbanding wanita kerana tidak mahu menanggung kos gaji, kos bersalin dan kos pekerja gantian untuk pekerja wanita mereka yang cuti bersalin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, majikan mungkin melihat kemudahan itu sebagai beban dan menjadikan alasan untuk mengutamakan pekerja lelaki.

KOS TAMBAHAN

Menurut beliau, majikan sebenarnya tidak menanggung sebarang kerugian kerana ia hanya membabitkan penambahan cuti bersalin dan tidak melibatkan sebarang kos tambahan.

“Bagi mengekang isu ini berlaku, kerajaan perlu menetapkan dasar 30 peratus pengambilan pekerja wanita.

“Memang tidak dinafikan Malaysia sudah pun melaksanakan dasar ini melibatkan peringkat pengurusan, tetapi ia diperluaskan di semua peringkat pekerja,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang sebelum ini ditangguhkan, akan dilaksanakan mulai 1 Januari ini.

Pindaan akta itu sepatutnya mula berkuat kuasa 1 September lalu, namun ditangguhkan selepas pihak industri dan majikan memohon penangguhan atas beberapa faktor termasuk memerlukan sedikit masa untuk proses pemulihan ekonomi.

Kandungan pindaan itu melibatkan penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.

KLAUSA

Dalam pada itu, Kamarul Baharin memberitahu, akta baharu itu ada klausa baharu tentang diskriminasi iaitu mana-mana majikan atau syarikat bersikap demikian, boleh dikenakan tindakan.

Katanya, manipulasi itu bukan sahaja melibatkan dalam kalangan pekerja sahaja, tetapi bakal pekerja atau pemohon sekiranya mereka tidak mendapat peluang kerja atas faktor jantina.

“Mereka yang merasakan diskriminasi boleh melaporkan kepada MTUC atau pergi ke mana-mana Jabatan Tenaga Kerja untuk buat aduan dengan segera,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, takrifan diskriminasi begitu luas dan sukar dibuktikan jika mereka tidak mendapat kerja kerana bukan atas faktor jantina wanita.

Oleh itu, beliau menegaskan, kerajaan perlu memantau pelaksanaan dasar itu untuk memastikan majikan mengambil pekerja berdasarkan kelayakan dan merit mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×