KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar mengisytiharkan darurat iklim di seluruh negara sebagai usaha menangani dan mengurangkan risiko bencana alam yang sedang melanda di kebanyakan tempat di seluruh negara.
Hal itu berdasarkan situasi banjir yang semakin meruncing terutama di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, sehingga menyebabkan puluhan ribu mangsa terpaksa dipindah ke pusat pemindahan sementara (PSS).
Sebelum itu, negara turut digemparkan dengan tragedi menyayat hati apabila beberapa mangsa terkorban di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm berdekatan jalan menghubungkan Batang Kali dan Genting Highlands, disebabkan kegagalan struktur cerun, baru-baru ini.
Dalam keadaan hujan berterusan selaras dengan amaran waspada yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi, ia dikhuatiri akan mendorong situasi lebih buruk jika kerajaan sekadar tampil memberi bantuan tanpa mengisytiharkan darurat iklim.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin berkata, wujud keadaan mendesak kerana bencana yang berlaku berada di tahap luar biasa selain setiap tragedi berlaku pada jarak masa berdekatan.
Katanya, pengisytiharan darurat iklim membolehkan kerajaan Persekutuan lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan seterusnya mengerah segala usaha untuk berdepan dengan kesan-kesan bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir.
“Memang perlu (isytihar darurat), sebab apabila kita tidak bersiap sedia, maka kita hanya setakat menyelesaikan masalah seperti itu sahaja.
“Bila isytihar darurat iklim, peruntukan khas akan disalurkan, projek-projek pembangunan dihentikan dan, bina sistem pengairan baharu dan persediaan akan menjadi lebih terperinci untuk jangka panjang.
“Saya bimbang kejadian yang sama akan berlaku lebih teruk jika tiada persediaan. Sekarang bencana bukan lagi berlaku di satu tempat sahaja, malah ada tempat yang tidak pernah banjir, akhirnya kena juga,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, dalam tempoh darurat iklim, kerajaan harus melaksanakan moratorium ke projek-projek pembalakan perlu dihentikan dalam tempoh antara 20 hingga 30 tahun.
Jelasnya, pelaksanaan moratorium untuk tempoh tersebut bagi ‘memulihkan’ semula hutan yang telah ‘dirosakkan’ oleh pihak-pihak pemaju, selain 400 meter (m) ke atas banjaran Titiwangsa tidak boleh dibuka.
“Ini semua boleh dilakukan bagi mengelakkan daripada bencana alam. Dahulu dan sekarang, kita asyik lakukan penyahutanan dan menggantikan dengan komoditi seperti getah dan sawit. Akhirnya, hutan menjadi mangsa.
“Apa pun, isytihar darurat iklim adalah rancangan yang baik. Namun, saya berharap ahli politik jangan hanya menekan untuk isytihar darurat sahaja, tetapi usahakan apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Isnin lalu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan di Dewan Rakyat supaya darurat iklim diisytiharkan.
Darurat iklim merujuk kepada keadaan yang memerlukan tindakan segera bagi mengurangkan atau menghentikan perubahan iklim serta mengelakkan kerosakan alam sekitar yang berpotensi tidak dapat dipulihkan.
Pada September 2022, kerajaan negeri Selangor ditadbir Pakatan Harapan (PH) mempertimbang pengisytiharan darurat susulan iklim di negeri itu bagi menangani cuaca dan banjir kilat, sekali gus menjadi kerajaan negeri pertama membuat pengumuman sedemikian.
Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan ketika itu tidak bersetuju kerana percaya sudah mengambil langkah untuk mengurangkan dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim tanpa memerlukan pengisytiharan darurat iklim.
Ketika kerajaan Negeri dan Persekutuan berbeza pendapat, namun pengisytiharan darurat iklim negeri masih boleh dibuat kerana berada dalam bidang kuasa mereka tanpa perlu menunggu tindakan daripada Persekutuan.
Dalam perkembangan terkini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat pusat, negeri dan daerah sudah diaktifkan dan tahap kesiapsiagaan sentiasa ditambahbaik bagi menghadapi bencana yang sedang dan bakal berlaku. – UTUSAN











