Semua pihak harus terima keputusan

Semua pihak harus terima keputusan

USUL undi percaya hanya boleh ada dua kesudahan, sama ada Anwar Ibrahim berjaya membuktikan sokongan majoriti terhadapnya atau beliau gagal. – UTUSAN/SADIQ ASYRAF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USUL undi percaya ke atas Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini amat bersejarah untuk perkembangan politik tanah air. Ia boleh membawa kembali kestabilan dan diharap semua pihak akan menerima keputusan setelah berusaha kuat untuk matlamat masing-masing.

Seperti Piala Dunia yang ada pengakhirannya dan cuma terdapat satu pasukan juara, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga perlu ada pengakhirannya.

Untuk lima tahun dari hari ini sampai 18 Disember 2027 apabila penggal Parlimen ke-15 terbubar secara automatik, rakyat berhak melihat kedua-dua kerajaan dan pembangkang akan bekerja kuat. Satu untuk mentadbir dan memajukan negara, dan satu lagi untuk memantau kerajaan dan kesiapsiagaan diri sebagai pengganti yang lebih handal, lima tahun kemudian.

PEMBANGKANG SETIA

Undi percaya ini hanya boleh ada dua kesudahan, sama ada Anwar berjaya membuktikan majoritinya atau Anwar gagal.

Kalau Anwar gagal, beliau telah berjanji akan mengundur diri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh serta-merta mengambil langkah membentuk kerajaan baharu.

Kalau Anwar berjaya, diharap Muhyiddin akan memimpin Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang berwibawa dan Datuk Seri Hamzah Zainudin akan segera membentuk Kabinet bayangan beliau.

Demi menyuburkan demokrasi, kerajaan tidak kira siapa PM harus membawa undang-undang untuk pengiktirafan Kabinet bayangan yang harus mengangkat sumpah di Istana Negara sebagai pembangkang setia Seri Paduka.

Menteri-menteri bayangan diberi gaji, sokongan penyelidikan dan akses maklumat kerajaan yang setimpalnya. Janganlah yang jadi kerajaan takutkan persaingan profesional daripada pihak lawan.

Akan tetapi Perjanjian Persefahaman Kerjasama (PPK) antara lima pihak utama yang membentuk kerajaan perpaduan – Perikatan Harapan (PH) 82 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam dan Parti Warisan (Warisan) tiga, menimbulkan kontroversi sehingga keputusan undi percaya ini bakal ditolak sebelum pun undi dibuat.

TIDAK IKAT

Kontroversi ini timbul daripada Klausa 4(b) PPK berbunyi, “Setiap parti dan pihak hendaklah memastikan setiap ahli Parlimen mengundi menurut Klausa 4(a) di atas menyokong PM dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan.”

“Kegagalan, keengganan atau kecuaian berbuat demikian hendaklah diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab ahli Parlimen secara individu kepada parti itu yang dianggap sebagai perletakan jawatan dan/atau pemberhentian daripada menjadi ahli Parlimen dan bahawa kerusi beliau dikosongkan dalam kerangka maksud Artikel 49A (1) Perlembagaan Persekutuan…”

Ini sudah diuar-uarkan sebagai mengikat ahli-ahli Parlimen dalam undi percaya hari ini, dan maka dikecam sebagai melanggar perlembagaan.

Akan tetapi, ini adalah takrifan dan dakwaan yang salah kerana PPK itu sendiri tidak mengikat ahli-ahli Parlimen. Klausa 4(b) adalah kenyataan hasrat dan hasrat itu hanya boleh menjadi hakiki dengan salah satu daripada dua jenis alat.

Alat pertama ialah peruntukan dalam perlembagaan parti yang menjadikan pengingkaran arahan parti atas undi percaya dan perbekalan itu satu asas penghentian sebagai ahli parti atau kesamaan dengan perletakan jawatan. Setakat ini, pindaan berkesan sedemikian hanya dibuat oleh DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dan akan mengikat 48 ahli Parlimen mereka.

Alat kedua ialah perjanjian antara parti dan ahli Parlimen yang berkuasa mengikat di sisi undang-undang yang boleh membawa kepada kesan sama. Ini adalah asas BN berjaya membatalkan surat akuan 10 ahli Parlimennya yang asalnya menyokong Muhyiddin sebagai calon PM. Jadi, 30 ahli Parlimen lagi terikat.

Ini hakikatnya. Tanpa PPK pun, seramai 78 ahli Parlimen sudah terikat dengan arahan parti dalam undi percaya dan perbekalan kecuali mereka berjaya menanggalkan ikatan ini di mahkamah.

Sebaliknya, dengan PPK pun, seramai 66 ahli Parlimen dari PKR (31), GPS (23), GRS (6), Warisan (3) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dua, tetap bebas menolak Anwar dalam undi percaya hari ini dan tidak akan dilucutkan kerusi mereka.

Empat lagi ahli Parlimen yang menyokong kerajaan perpaduan dari Parti Bangsa Malaysia (PBM) satu, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) satu dan Bebas (2), langsung tidak terikat dengan PPK.

TERIMA KESUDAHAN

Ini bermakna Muhyiddin boleh membuktikan Anwar cuma dapat sokongan minoriti jika beliau dapat memujuk sekurang-kurangnya 38 daripada 70 ahli Parlimen kerajaan yang bebas mengundi untuk menyertai 74 ahli Parlimen menolak Anwar.

Maka sekiranya Muhyiddin gagal memujuk 38 ahli Parlimen untuk menolak Anwar, beliau tidak harus menafikan keputusan undi percaya.

Sama ada keputusan dalam undi percaya dan perbekalan itu boleh dibuat mengikut budi bicara ahli-ahli Parlimen atau harus menjadi prerogatif parti memang boleh didebatkan lagi.

Atas isu ini, pilihan mungkin terpulang kepada kesediaan kita untuk melihat wujud semula kerajaan berasaskan ahli Parlimen daripada kerajaan berasaskan parti.

Akan tetapi, tidak kira apa kesukaan, jangan kita menolak keabsahan undi percaya hari ini semata-mata kerana keputusannya tidak memuaskan hati, macam Presiden Trump yang tidak dapat menerima kekalahannya sampai sekarang.

Terimalah kesudahan sepertimana 31 pasukan yang gagal dalam Piala Dunia. Mereka akan mempertingkatkan prestasi mereka untuk kembali jadi juara empat tahun kemudian, bukan merungut selama empat tahun bahawa kemenangannya telah dicuri.

Syukur dapat udang galah,
Dimasak lemak ala nyonya,
Main bola jangan takut kalah,
Kalah pun jangan rungut selama-lamanya. – UTUSAN

PROFESOR Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Ibu Pejabat Asia Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDSN) di Universiti Sunway.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×