[FOKUS] Dasar kabotaj: Apa pendirian Anthony Loke, Ka Siong?

[FOKUS] Dasar kabotaj: Apa pendirian Anthony Loke, Ka Siong?

ANTHONY LOKE SIEW FOOK dan WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENERAJUI Kementerian Pengangkutan buat kali kedua, Anthony Loke Siew Fook ditanya sekali lagi apakah pendirian beliau berhubung dasar kabotaj yang pernah diperkenal semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan antara PH dan Barisan Nasional (BN) serta beberapa gabungan parti lain pada PRU15, isu dasar kabotaj tidak pernah timbul, jauh sekali menjadi perdebatan awam.

Sedangkan, perkara itu impaknya terlalu besar untuk ekonomi negara jika tiada penjelasan daripada kerajaan, sama ada mahu melaksanakan semula pengecualian atau kekal membatalkan pengecualian kabotaj.

Kabotaj adalah dasar diperkenal kerajaan pada 1980 yang mengehadkan perkhidmatan pengangkutan kargo, penumpang, sebarang bentuk pembekalan perkhidmatan perkapalan dan maritim merangkumi Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (200 batu nautika dari garis pangkal pantai sesebuah negara) kepada kapal-kapal pendaftaran Malaysia sahaja.

Ini juga bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada perkapalan asing, mengekalkan industri perkapalan dan pembuatan kapal Malaysia dan hanya kapal berdaftar dan milik Malaysia boleh menggunakan laluan pelayaran domestik melainkan pengecualian diberikan.

Di era pentadbiran PH, Siew Fook mengecualikan kapal-kapal bukan Malaysia daripada dikenakan tindakan menerusi Ordinan Perkapalan Malaysia 1952 Seksyen 65KA (1) jika terlibat dalam perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut di mana-mana pusat pendaratan di perairan negara.

Tidak lama selepas PH tumbang digantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pada November 2020 menarik semula pengecualian itu.

Apa pula kesannya selepas pembatalan pengecualian kabotaj? Rentetan tindakan Ka Siong yang menarik semula dasar tersebut, ia didakwa menyebabkan Malaysia tercicir daripada disenarai dalam kalangan negara terlibat bagi projek kabel internet dasar laut.

Malaysia sebelum ini dilapor terlepas peluang daripada terlibat bagi projek dasar laut Apricot sejauh 12,000 kilometer, yang menghubungkan Guam, Jepun, Taiwan, Filipina, Indonesia dan Singapura – akibat dasar kabotaj yang belum diselesaikan.

Walaupun Ka Siong menegaskan dasar kabotaj bukan faktor tunggal Malaysia tidak terlibat dalam projek kabel internet dasar laut Apricot, dua projek terdahulu iaitu jaringan Echo dan Bifrost juga berdepan situasi sama didakwa disebabkan dasar kabotaj yang ditarik semula.

Syarikat gergasi teknologi seperti Amazon Web Service, Facebook, Google dan Microsoft pernah mengeluarkan kenyataan bersama mendesak Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan pengecualian kabotaj.

Ini kerana, ia dikatakan memberi kesan negatif terhadap daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat teknologi global dan mewujudkan monopoli bagi satu syarikat perkapalan tempatan yang hanya memiliki satu kapal pemasangan kabel di negara ini.

Dalam mesyuarat Parlimen ke-14, Siew Fook dan Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam (BN-MCA) sering berbalah kerana tidak sehaluan berhubung pengecualian kabotaj.

Kali ini, memandangkan PH dan BN masing-masing berada dalam blok kerajaan di Dewan Rakyat, dasar kabotaj pastinya menguji kebolehlaksanaannya termasuk Ka Siong jika membuat pusingan ‘U’ atau kekal menolak pengecualian kabotaj. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×