JPN bongkar sindiket jual beli bayi

JPN bongkar sindiket jual beli bayi

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket jual beli bayi di negara ini masih aktif apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terus mengesan pemalsuan maklumat berkaitan kelahiran bayi untuk membuat sijil kelahiran.

Pemalsuan maklumat kelahiran itu turut membabitkan kes-kes seperti  anak luar nikah tetapi mahu dijadikan ‘anak kandung’ oleh pasangan lain.

Lebih membimbangkan jenayah ini, dikesan mendapat kerjasama sindiket dengan kakitangan hospital dan klinik swasta sehingga berlaku sijil kelahiran bayi direkodkan dengan butiran palsu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh berkata, bukti jenayah jual beli bayi ini belum berakhir apabila  dalam tempoh 10 bulan tahun sahaja terdapat sebanyak 74 kes  didakwa di bawah Akta 299 Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.

Menurut beliau, kesemua kes dikesan berlaku di sekitar Lembah Klang, Johor, Melaka, Perak, Kedah dan Melaka.

“Siasatan mendapati kes-kes ini membabitkan bayi yang dibeli daripada sindiket dengan harga mencecah ribuan ringgit.

“Atau mereka yang melahirkan anak luar nikah tetapi diserahkan kepada orang lain dengan menjadikan pasangan lain sebagai `ibu atau bapa kandung’ walhal bayi itu bukan anak dilahirkan pasangan itu,” kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Menurut Ruslin, individu-individu terbabit mengambil jalan mudah mengupah ejen atau membayar klinik swasta bagi memalsukan maklumat ibu bapa dengan meletakkan nama ibu bapa angkat sebagai ibu bapa kandung untuk mendaftarkan kelahiran bayi tersebut di JPN.

“Kebanyakan kes terbongkar ketika kanak-kanak itu berusia 12 tahun apabila ingin membuat kad pengenalan diri dan mendapati maklumat di sijil kelahiran meragukan antaranya pengecaman wajah yang berbeza,” jelasnya.

Ruslin berkata, sejak dulu hingga sekarang JPN  memandang serius perbuatan menipu maklumat kelahiran dan ibu bapa sebenar kepada bayi itu adalah melanggar undang-undang.

Ujar beliau, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat termasuk ibu atau bapa angkat yang memalsukan kelahiran.

“Setiap proses pendaftaran lahir kita akan semak dengan hospital kerana mempunyai rekod di bawah borang LM01 yang perlu disahkan oleh pakar perubatan.

“Jumlah 74 kes itu yang JPN mampu kesan dan lebih membimbangkan mungkin angka penipuan itu lebih besar,” kata beliau.

Jelasnya, pemalsuan maklumat tersebut boleh mendatangkan pelbagai lagi masalah terhadap kanak-kanak tersebut terutama melibatkan isu kewarganegaraan dan untuk persekolahan.

“Kita juga akan terus dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengesan klinik-klinik tersebut dan ada yang telah diambil tindakan.

“Saya menyeru orang ramai hadur di mana-mana pejabat JPN untuk proses pendaftaran kelahiran termasuklah proses pengambilan anak angkat melalui saluran yang sah,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×