PETALING JAYA: Malaysia merekodkan seramai 434,197 Ketua Isi Rumah (KIR) tergolong dalam kelompok `miskin’ dan ‘miskin tegar’ dengan kehidupan kumpulan itu semakin tersepit apabila negara kini dilanda kenaikan kos sara hidup akibat inflasi.
Daripada angka 434, 197 itu, sebanyak 130,709 mewakili KIR berstatus miskin tegar manakala 303,488 lagi mewakili KIR berstatus miskin.
Kadar garis kemiskinan nasional di Malaysia ialah pendapatan bagi satu keluarga sebanyak RM2,208 sebulan manakala bagi miskin tegar RM1,169 dan ke bawah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, berdasarkan kadar KIR direkodkan Data Kemiskinan Nasional (eKasih) Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) sehingga 15 September lalu, jumlah ketua keluarga yang miskin dan miskin tegar sangat merungsingkan.
Menurut beliau, ini kerana negara ketika ini sedang berdepan situasi luar jangka apabila berlaku peningkatan kos sara hidup selepas baru sahaja pulih daripada pandemik Covid-19 yang membuatkan ramai rakyat terjejas punca rezeki sehingga ada yang terjerumus dalam status miskin dan miskin tegar.
Kata beliau, paras peningkatan garis kemiskinan yang dikemas kini dan keadaan luar jangka semasa wabak Covid-19 antara faktor besar menyumbang kepada peningkatan KIR.
Menurut beliau, ini kerana ramai yang mengalami kekurangan pendapatan dan hilang pekerjaan semasa pandemik, malah jumlah pengangguran masih tinggi walaupun kerajaan terdahulu mengumumkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat yang terkesan.
KEKAYAAN
“Malah, kalau kita lihat isu taburan kekayaan iaitu jurang pendapatan dan kekayaan itu memang semakin melebar dalam tempoh dua atau tiga tahun ini, cuma statistik itu belum dikemas kini.
“Tetapi, kita boleh melihat prestasi jualan kedai pajak gadai yang meningkat, depresi dan kes-kes bunuh diri makin meningkat adalah antara pertanda semakin ramai yang sedang terjerumus dalam kancah kemiskinan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Walaupun, data kemiskinan eKasih bersifat dinamik dan sentiasa berubah serta berasaskan kepada formula perkiraan yang disediakan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Perangkaan melalui laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah 2019.
Mengulas lanjut, Dr. Ahmed Razman berkata, kebanyakan inisiatif yang diberikan untuk membantu KIR sebelum ini bersifat one-off, sementara dan jangka masa pendek.
Katanya, tindakan one-off itu tidak banyak membantu kerana kebanyakan keluarga KIR mempunyai komitmen hutang yang berterusan.
“Inisiatif moratorium pun hanya enam bulan dan ada faedah tambahan yang dikenakan, malah boleh lihat tidak ada langung pemansuhan hutang sama ada dari segi pemansuhan kadar bunga atau pemansuhan prinsipal sepanjang pandemik,” katanya.
CSR
Sehubungan itu, katanya, selain bantuan kerajaan, bank tempatan juga diharap mempunyai usaha melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menghapuskan hutang rakyat dalam kalangan miskin dan miskin tegar.
Katanya, ini kerana kebanyakan institusi kewangan tidak mencatatkan sebarang kerugian dalam tempoh pandemik.
“Walaupun semasa pandemik dengan inisiatif moratorium, bank masih catat keuntungan berbilion. Kita boleh lihat jumlah keuntungan sebelum cukai pada 2020 bagi sembilan bank tempatan yang tersenarai di bursa adalah sekitar RM26 bilion.
“Tetapi, tak ada satu bank pun mahu hapus hutang atau hapus kadar faedah. Oleh itu, miskin dan miskin tegar ini berterusan terkesan dalam kadar hutang yang tinggi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Felo Institut Masa Depan Malaysia, Datuk Dr. Madeline Berma berkata, kadar KIR yang berdaftar dalam sistem eKasih itu masih tidak menggambarkan kemiskinan sebenar di negara ini.
Menurut beliau, ini kerana angkanya boleh menjadi lebih tinggi kerana ada kemungkinan terdapat ramai lagi KIR berstatus sama yang tidak disantuni untuk berdaftar.
“Masalah kedua pula, angka sebenar boleh jadi lebih rendah kerana mungkin ada KIR yang sudah keluar daripada kedua-dua status itu tidak melapor sedangkan sudah melepasi garis kemiskinan.
“Kita tidak boleh kenal pasti sebab tidak ada sistem yang mengesan mereka keluar daripada status miskin, jadi buat apa mereka mahu melapor kalau boleh mendapat bantuan apabila tetap berdaftar dalam sistem itu.
“Contoh garis kemiskinan adalah RM2,208, jadi lebih baik laporkan pendapatan di bawah itu sebab bila duduk dalam eKasih dapat bantuan…anak mereka dapat bantuan, sedangkan mereka sudah melepasi garis kemiskinan,” kata beliau. – UTUSAN










