SELURUH rakyat Argentina dikatakan berduka atas kekalahan 1-2 pasukan mereka di tangan Arab Saudi dalam saingan pusingan awal peringkat kumpulan Piala Dunia 2022 di Qatar, Selasa lalu.
Suasana berbeza di Arab Saudi apabila kerajaannya umum cuti umum di negara itu sebagai meraikan kejayaan menewaskan pasukan pilihan yang diramal menjuarai Piala Dunia tahun ini.
Demikianlah hebatnya ‘kuasa’ dan pengaruh sukan bola sepak kepada sebahagian besar kita sementelah ia sukan nombor satu diminati dunia. Ringkas kata, sejak Isnin lalu, ramai yang ‘dilanda demam’ bola. ‘Demam’ itu pula dijangka akan kebah atau pulih pada 18 Disember apabila tahu siapakah juara Piala Dunia kali ini.
Dalam kerancakan kita menonton piala dunia, mari kita ambil semangat sukan itu ke arah mencergaskan diri masing-masing. Walaupun kita hanya menonton aksi-aksi pemain bertaraf dunia, janganlah lupa bersenam untuk memastikan badan kita sentiasa sihat dan cergas.
Islam membenarkan umatnya melakukan apa-apa yang baik dan bermanfaat dalam hidup. Ini termasuklah, bersukan. Tidak kiralah bermain bola sepak, berbasikal, memanah, berjoging dan sebagainya. Ia supaya melahirkan umat Islam yang sihat dan kuat. Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi oleh Allah SWT daripada mukmin yang lemah. (Riwayat Muslim)
Tentang bersukan pula, antara hadis Nabi SAW yang berkaitan adalah yang bermaksud: Nabi SAW telah berjalan di hadapan sekumpulan daripada suku Aslam yang sedang berlumba (dalam menunjukkan kemahiran memanah). Maka Nabi SAW bersabda: “Panahlah, wahai bani Ismail kerana sesungguhnya nenek moyang kamu adalah ahli dalam memanah maka panahlah”. (Riwayat Bukhari)
Malah, para sahabat juga memberi gambaran bahawa keadaan fizikal tubuh Nabi SAW adalah seperti berikut iaitu badannya tidak gemuk, perutnya tidak buncit, bahunya terletak dan segak, binaan tubuh baginda sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh.
Ini pastinya memberi inspirasi kepada umat Islam untuk mencapai ciri fizikal tersebut sebagaimana yang dimiliki oleh Nabi SAW. Senang cerita, baginda bukanlah orang yang gemuk.
Untuk itu, janganlah kita menjadi orang yang lemah fizikal, tidak mahu bersukan atau bersenam. Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebanyak 33.5 peratus rakyat Malaysia tidak aktif secara fizikal. Ini bermakna hanya 14 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang aktif secara fizikal.
Senaman ialah aktiviti fizikal yang lebih tinggi intensitinya daripada aktiviti harian. Tujuannya adalah mendapatkan manfaat kesihatan baik dari segi fizikal dan juga mental. Senaman boleh menjadi tabiat jika kita memilih aktiviti yang kita seronok untuk melakukannya.
Setiap kita mempunyai jenis senaman kesukaan yang berbeza seperti berjalan, berlari, mendaki, mengikuti kelas kecergasan atau menggunakan mesin larian treadmill dan sebagainya. Walau apa pun pilihannya, senaman ialah kemestian untuk mengekalkan kesihatan.
UMUR
Apa yang penting, bersenamlah mengikut kesesuaian umur. KKM telah menyarankan aktiviti fizikal bagi umur 18 hingga 64 tahun seperti berikut. Aktiviti fizikal yang dicadangkan boleh dibahagikan mengikut domain seperti aktiviti fizikal waktu senggang (contoh: membasuh kereta atau berkebun), perjalanan (contoh: berjalan atau berbasikal), pekerjaan, melakukan kerja rumah, bermain, rekreasi luar dan bersukan sama ada bersama dengan keluarga, rakan atau komuniti.
Tempoh masa melakukannya adalah sekurang-kurangnya 30 minit sehari atau 150 minit seminggu. Konsep kumulatif 150 minit seminggu merujuk jumlah masa yang dicampurkan dengan aktiviti fizikal yang dilakukan sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari secara berterusan. Misalnya 30 minit aktiviti fizikal tahap sederhana, lima hari seminggu.
Individu dewasa yang tidak aktif pula, lebih baik melakukan sedikit aktiviti daripada tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal. Individu dewasa yang tidak mencapai keaktifan yang disarankan perlu lebih fokus untuk meningkatkan tempoh masa, kekerapan dan intensiti yang lebih tinggi.
Bagi yang berumur 65 tahun dan ke atas bolehlah melakukan aktiviti fizikal termasuklah aktiviti fizikal pada masa senggang (contohnya berkebun), perjalanan (contohnya berjalan atau berbasikal), pekerjaan (bagi individu yang masih bekerja), melakukan kerja rumah, aktiviti rekreasi, senaman (contohnya regangan, joging dan taici) dan bersukan.
Golongan ini disaran melakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti fizikal tahap sederhana seminggu atau sekurang-kurangnya 75 minit aktiviti fizikal tahap tinggi sepanjang minggu. Kombinasinya aktiviti fizikal tahap tinggi dan sederhana.
Bagi menggalakkan rakyat Malaysia khususnya golongan yang kurang aktif dalam melakukan aktiviti fizikal untuk menjadi lebih cergas, setiap orang digalakkan berjalan 10,000 langkah sehari.
Di dalam kitab Zad-Al-Ma‘aad’, Imam Ibnul-Qayyem berkata, pergerakan adalah asas kepada sukan. Ia menolong badan membuang sisa makanan dengan cara tabii. Ia menjadikan badan aktif, meningkatkan imuniti badan dan melindungi badan daripada penyakit.
Setiap organ ada jenis sukan yang sesuai dengannya. Bagi menunggang kuda, memanah, bergusti dan berlumba-lari, merupakan sukan yang memberi manfaat kepada seluruh badan. Ini penting kerana biasanya badan yang gemuk lebih mudah dijangkiti penyakit dan terdedah kepada sifat malas untuk beriadah.
Lebih penting, badan yang kuat mampu membantu kita melunaskan kedua-dua tugas agama (ibadat khusus) dan dunia. Islam tidak menerima apa-apa yang mendorong kepada pengabaian tugas itu, kecuali dalam beberapa kes yang beberapa kelonggaran diberikan supaya memudahkan penganutnya.
Dalam Islam, banyak ibadah yang mengandungi sukan untuk membantu badan mengekalkan kekuatan fizikal apabila ia diamalkan dengan sempurna. Amalan seperti ibadat haji, menziarahi saudara Muslim, melawat yang sakit, berulang-alik ke masjid dan terlibat dalam aktiviti sosial adalah termasuk aktiviti bersukan.
Seperkara lagi, kita sentiasa diingatkan agar bersederhana dan tidak ekstrem melakukan sesuatu perkara. Ini termasuk juga dalam bersukan. Yang penting seseorang Muslim tidak sepatutnya lalai dengan sukan sehingga mendorong meninggalkan tugas-tugas agama dan yang lain. Ringkasnya, jangan leka main bola atau main berbasikal hingga tidak menunaikan solat fardu. Badan sihat otak cergas. – UTUSAN
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.











