PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang digesa supaya berhenti memperlekeh pengundi dan calon pilihan raya berbangsa Melayu dan beragama Islam yang bersama DAP dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Calon-calon Pakatan Harapan (PH) dari DAP dalam satu kenyataan berkata, kerusi-kerusi yang ditandingi calon Melayu dari parti itu bukan kerusi mudah.
Katanya, mereka tetap meletakkan calon terbaik untuk membantu PH menang dalam pilihan raya dan menjadikan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri seterusnya.
Bagaimanapun, mereka tetap berterima kasih kepada Abdul Hadi kerana telah memberi publisiti yang DAP menampilkan ramai calon Melayu dan secara tidak langsung mendatangkan kebimbangan terhadap Pas dan Perikatan Nasional (PN).
“Abdul Hadi terus memandang rendah keupayaan berfikir pengundi Melayu Islam dalam memilih pemimpin dan wakil rakyat mereka. Beliau turut merendahkan tokoh pemimpin Melayu Islam yang bukan sahaja dipandang tinggi di Malaysia malah di peringkat dunia iaitu Anwar.
“Presiden Pas perlu sedar bahawa rakyat Malaysia tidak lagi memilih wakil rakyat mereka hanya berdasarkan kaum dan agama calon yang bertanding.
“Pengundi Melayu Islam akan memilih calon Melayu daripada DAP bukan hanya kerana mereka Melayu Islam sebaliknya berdasarkan prestasi dan khidmat wakil-wakil rakyatnya,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu ditulis bersama calon Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Syahredzan Johan (Bangi); Sheikh Umar Bagharib Ali (Ayer Hitam); Zulhazmi Shariff (Jerai); Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera); Ahmad Tarmizi Mohd. Jam (Gerik); Fatin Zulaikha Zaidi (Mersing); Shazwan Zdainal (Pontian); Muhammad Khairil Khalid (DUN Pulau Manis) dan Badrul Hisham Badarudin (DUN Changkat Jong).
Semasa menyampaikan kuliah di Marang, Terengganu semalam, Abdul Hadi dilaporkan menyatakan kebimbangannya terhadap pencalonan ramai orang Melayu atas tiket DAP dalam pilihan raya kali ini.
Beliau khuatir jika calon-calon Melayu berkenaan hanya diperguna DAP bagi meraih undi Melayu-Islam.
Mengulas lanjut, calon-calon DAP mendakwa ramai menyedari bahawa parti yang menunggang sentimen kaum dan agama bagi meraih undi adalah Pas dan sekutunya, berbanding mengemukakan calon berkaliber dan mengetengahkan polisi yang baik untuk menyelesaikan masalah rakyat.
“Walaupun DAP tidak banyak bertembung dengan calon Pas, mereka terus merasakan yang DAP adalah seteru politik utama,” katanya. – UTUSAN










