Darurat: Gementar, harapan rakyat - Utusan Malaysia

Darurat: Gementar, harapan rakyat

Pihak berautoriti boleh mengaktifkan elemen ketenteraan jika difikirkan perlu dan sesuai selepas mengisytiharkan proklamasi darurat. – Utusan/Zulfadhli Zak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menelusuri sejarah, proklamasi darurat bukanlah sesuatu yang baharu malahan telah diisytiharkan beberapa kali selepas negara mencapai kemerdekaan. Apa yang menarik, proklomasi yang dibuat berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan ini dilihat berevolusi dengan giat, terutama dalam tempoh dua tahun sudah.

Darurat secara umum bermaksud ancaman yang nyata terhadap keselamatan, ekonomi atau ketenteraman awam. Secara am, ancaman bersenjata ataupun elemen keganasan bukanlah prasyarat utama sesebuah darurat. Apa yang lebih penting, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati terdapat ancaman-ancaman yang dinyatakan di atas, di mana-mana kawasan dalam negara. Skop ancaman-ancaman ini boleh diberi interpretasi lebih meluas dan boleh meliputi permasalahan-permasalahan khusus seperti isu kesihatan awam, bencana alam, mahupun masalah politik dalaman yang mampu mengganggu gugat kestabilan negara. Ini boleh dilihat berdasarkan pengisytiharan-pengisytiharan darurat terdahulu seperti di Sarawak (1966), Kelantan (1977) dan terbaharu di Batu Sapi (2020). Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong tidak terikat dengan nasihat Perdana Menteri untuk membuat proklamasi darurat tersebut, sepertimana terjadi pada Oktober lalu.

Permasyhuran darurat oleh Yang di-Pertuan Agong membawa kepada suatu penggubalan undang-undang khas dikenali sebagai Ordinan Darurat. Ordinan ini boleh digubal oleh Yang di-Pertuan Agong ataupun Parlimen. Lebih menarik, walaupun Ordinan Darurat dianggap sebagai sebuah Akta Parlimen, Perlembagaan Persekutuan mengizinkan ordinan tersebut untuk tidak selaras dengan peruntukan-peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan kecuali mengenai beberapa perkara yang digariskan Perlembagaan.

Secara ringkasnya, proklamasi darurat dilakukan bagi tujuan mengesampingkan norma undang-undang sedia ada bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan atau krisis dihadapi negara yang tidak dapat diselesaikan melalui saluran biasa.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, Perlembagaan adalah tunjang utama. Namun, proklamasi darurat boleh menggantung Perlembagaan termasuk menggantung jaminan-jaminan hak asasi manusia seperti hak kebebasan bergerak, hak untuk bersuara dan hak untuk berhimpun. Pada masa sama, pihak berautoriti juga boleh mengaktifkan elemen ketenteraan jika difikirkan perlu dan bersusaian. Namun, tidak semua darurat memerlukan intervensi ketenteraan.

Melalui sekatan-sekatan yang dijalankan dan kebolehan untuk menggantung Perlembagaan, secara langsung dan tidak langsung memberikan kuasa yang lebih kepada pemerintah, yakni lebih daripada kebiasaannya. Secara idealnya, kuasa-kuasa yang diberikan ini haruslah digunakan secara berfokus, adil dan saksama bagi menguruskan krisis atau permasalahan genting yang sedang dihadapi negara. Misalnya bagi tujuan menghadapi dan menghentikan ancaman penularan sesuatu wabak penyakit. Kuasa-kuasa tersebut haruslah dipulangkan semula kepada Parlimen yang mewakili rakyat sejurus sahaja krisis tersebut berjaya diselesaikan.

PENCABULAN

Bagaimanapun, pengkritik-pengkritik undang-undang darurat menyuarakan kebimbangan, proklamasi darurat mampu memusnahkan struktur asas sesebuah demokrasi. Mereka bimbang pihak pemerintah akan mempunyai kuasa lebih besar, sekali gus boleh membawa kepada pencabulan ke atas keistimewaan kuasa yang diberikan. Darurat juga dikhuatiri akan mendorong kerajaan untuk bersifat lebih draconian dalam menguruskan negara, sekali gus boleh merosakkan konsep semak dan imbang. Kekhuatiran ini ada asasnya kerana banyak kediktatoran di negara-negara lain bermula daripada proklamasi darurat. Pada masa sama, proklamasi darurat turut mampu menjejaskan hubungan federalisme antara pihak berkuasa Persekutuan dan negeri. Hal ini kerana kuasa negeri-negeri yang pada asasnya dibahagikan melalui Jadual Kesembilan Perlembagaan boleh diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan kecuali perkara-perkara mengenai Islam, adat istiadat Melayu dan sebagainya.

Berbeza dengan proklamasi-proklamasi darurat terdahulu, darurat yang diisytiharkan semalam adalah lebih berfokus kepada usaha untuk menangani krisis pandemik Covid-19 serta menguruskan bencana banjir yang sedang melanda beberapa negeri. Kes jangkitan Covid-19 dilihat semakin meruncing dan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan. Sektor kesihatan awam berada dalam keadaan amat tertekan sehingga ada hospital beroperasi dalam kapasiti penuh dan tidak lagi mampu menampung jumlah pertambahan pesakit.

Bagaimanapun, ada pengkritik-pengkritik berpendapat, pengisytiharan darurat dibuat sebagai satu jalan keluar bagi mengekalkan kuasa kerajaan sedia ada. Kesimpulan ini dikaitkan dengan krisis politik dihadapi mutakhir ini. Melalui pengisytiharan darurat, pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil tidak boleh diadakan.

Bagaimanapun, pendapat-pendapat ini dinafikan secara langsung oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menurut beliau, sebab utama untuk tidak mengadakan pilihan raya-pilihan raya tersebut bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19 daripada menjadi semakin parah, bukanlah bertujuan memonopoli kuasa. Sehubungan itu, satu jawatan kuasa khas bebas dibentuk dianggotai pelbagai pemegang taruh termasuk pembangkang bagi menjamin pelaksanaan darurat yang telus dan adil. Jawatan kuasa ini berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang perjalanan proklamasi darurat.

Sebagai rakyat, semestinya kita bimbang dan gementar. Sudah tentulah kita mengharapkan proklamasi tersebut tidak membawa apa-apa kesan lebih buruk kepada rakyat. Didoakan krisis-krisis yang melanda negara dapat diselesaikan dengan baik, seterusnya membuka ruang supaya mandat dapat dikembalikan semula kepada rakyat. Melalui mandat ini, rakyat bolehlah menentukan sama ada mengekalkan kerajaan sedia ada atau memilih kerajaan baharu bagi menghadapi cabaran pascapandemik yang dijangka jauh lebih getir.

DR. Hafidz Hakimi Haron ialah Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia (MMU) Kampus Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×