Pas jangan hipokrit - Utusan Malaysia

Pas jangan hipokrit

ABDUL Hadi Awang memeluk Lim Kit Siang di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada 2001.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ahmad farisMEMERHATI dwistandard tindak-tanduk Pas terhadap UMNO dalam isu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini, saya serta-merta teringat al-kisah Mohamad Sabu atau Mat Sabu dan gengnya.

Saya ingat lagi tarikhnya 13 Julai 2015, lima tahun sudah bila mana Mat Sabu, bekas Timbalan Presiden Pas mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu yang diterajui kumpulan progresif Pas.

Sidang media Mat Sabu itu turut dihadiri ahli jawatankuasa (AJK) penaja parti baharu termasuk bekas calon Presiden Pas, Ahmad Awang serta barisan bekas pemimpin Pas yang tewas dalam pemilihan parti itu awal Jun tahun yang sama.

Dan bukan main marah lagi Setiausaha Agung Pas waktu itu, Datuk Takiyuddin Hassan terhadap Mat Sabu dan konco-konconya. Katanya, Pas akan menghantar surat kepada 22 ahli mereka yang menyertai parti baharu yang dinamakan Parti Amanah Negara (PAN) itu.

PAN selepas itu menyertai Pakatan Harapan (PH) dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018. PAN mengejutkan, menang 11 kerusi, cuma kurang dua kerusi dari 13 diperoleh Bersatu.

Itu kisah PAN yang sama sekali berbeza dengan puak yang lompat parti, meninggalkan UMNO. Amat sedih, kecewa dan marah bilamana mereka ini meraih kemenangan dalam PRU-14 atas tiket UMNO, menggunakan kos belanja UMNO membiayai kemenangan mereka, undi pun diraih daripada ahli dan penyokong UMNO, semuanya hasil masyhul dari UMNO.

PERPADUAN

Mari saya ingatkan balik anda. Pada PRU 9 Mei 2018 itu, Barisan Nasional (BN) yang memenangi 79 kerusi hanya tinggal 41 kerusi selepas wakil rakyatnya melompat ke PH dan parti pembangkang yang lain.

Disember 2018 menyaksikan 11 ahli Parlimen – lima dari Sabah – keluar UMNO kerana tidak puas hati terhadap kepimpinan parti itu. Situasi itu memaksa presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan. Beliau bagaimanapun tidak melepaskan jawatan presiden.

Pas cuba bayangkan tragedi melanda UMNO ini terkena batang hidung Pas. Pas bernasib baik kerana Mat Sabu dan gengnya gentleman meninggalkan Pas, biarpun belum ketahuan untung nasib mereka dalam politik, waima PRU-14.

Justeru, Pas jangan hipokrit. Kalau benar-benar berjuang untuk kepentingan Islam dan orang Melayu, jujur seperti mana yang dikata, ajaklah semua parti yang berasaskan Melayu termasuk PAN sekali sertai gabungan politik besar berdepan dengan PH dalam PRU-15 nanti.

Dalam isu ini, kita hargai komitmen Yang Dipertua Pas Gombak, Salehuddin Nasir yang menegaskan, Pas Gombak akan memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi Parlimen itu dalam PRU-15. Keputusan itu kata ustaz Pas itu demi menjaga perpaduan dalam Muafakat Nasional (MN) UMNO-Pas selain menjadi kekuatan kepada perjuangan gabungan itu untuk mendepani PRU berkenaan. Menurutnya, hasrat tersebut telah disuarakan kepada pucuk pimpinan Pas Selangor secara rasmi untuk membuat keputusan.

PROJEK

Dalam hal ini, memang kedengaran kalangan pemimpin Pas bercakap pasal kononnya pemimpin atasan UMNO tidak sekata. Hakikatnya dalam UMNO memang begitu. Tidak sekata kerana kebebasan bercakap dipraktikkan tidak seperti mana dalam Pas.

Pas hari ini buat keputusan dasar, sedangkan sepatutnya harus mendapat endorsement atau perakuan daripada Dewan Syura. Ini tidak, menerusi mesyuarat AJK Pas Pusat dipengerusikan presiden sahaja. Jangan harap ini akan berlaku pada zaman Mursyidul Am Pas, arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan arwah Datuk Haron Din.

Perakuan daripada Majlis Syura Ulama Pas diketuai Mursyidul Amnya ibarat seperti mana ikut bahasa sekarang dipanggil SOP (prosedur operasi standard) yang diberi ruang untuk memberi pandangan terhadap sebarang keputusan besar yang dibawa ke Syura.

Tetapi kenapa tak pernah kedengaran hal ini? Sudah menjadi rahsia umum dalam Pas bahawa keputusan-keputusan besar dibuat oleh dua, tiga orang di keliling presiden. Tak perlulah kita namakan mereka. Semua maklum. Adakah di kanan raih projek, di kiri fikir perjuangan? Mana satu? Di Kedah, sudah dipersetujui projek pembaikan paip air bawah laut yang menyalurkan bekalan air terawat dari tanah besar ke Langkawi.

Di Kelantan pula melibatkan tiga projek mega membabitkan dua jajahan di negeri itu. Katanya, ia bakal mengubah landskap sosial dan ekonomi di Kelantan. Projek berkenaan iaitu pembinaan Jambatan Palekbang – Kota Bharu, pembangunan semula Kampung Laut dan pembangunan bersepadu Tok Bali, Pasir Puteh. Belum lagi diambil kira projek pembekalan air bersih bernilai berbilion ringgit dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) nanti.

DAP

Adakah disebabkan projek-projek besar ini, Pas sudah tidak keruan perjuangannya kini? Kenapa Pas sebagai parti Islam yang konon menjadi obor perjuangan ummah mengajak bermusuh dengan bukan Islam seperti DAP? Adakah semasa Rasulullah tiba di Madinah, baginda menafikan hak bukan Islam di bumi Madinah itu?

Kalaulah benar isu DAP menjadi aral Pas dalam kerjasama politik dengan rakan gabungan, kenapa tidak dibawa ke meja rundingan? Kenapa rigid dan fobia dengan DAP yang pernah pun bekerjasama dengan Pas? Kalau DAP boleh bertoleransi setelah pengalaman berharga 22 bulan memerintah Malaysia dengan Bersatu tempoh hari, maka bersedialah ke meja rundingan. Apa salahnya untuk membuat perubahan?

Pas juga perlu kritis. Perhatikan bahawa hanya bahagian-bahagian UMNO tertentu sahaja yang dengarnya ‘begitu beria-ia’ menguar-uarkan kononnya UMNO mahu bekerjasama dengan DAP. Bukankah itu strategi politik mana-mana parti? Pemerhati politik, faham-fahamlah.

Sekalipun marah dengan DAP, takkan kita boleh terlupa siapa yang bersama-sama mereka dalam 22 bulan kerajaan PH sebelum ini? Siapa pula yang hendak haramkan UMNO? Adakah menteri-menteri daripada DAP yang beria-ia? Kenapa kita mudah lupa? Kenapa prejudis dengan DAP?

Ya, bukanlah bermakna saya setuju dengan DAP ini, tetapi kita ‘terlalu sangat’. Sedangkan kita akur dan tahu akan prinsip tidak ada musuh yang kekal dalam politik. Yang penting, DAP baharu yang tidak ada lagi Dinasti Lim. Dan kita juga tahu MCA tidak berfungsi. Maka kena cari vehicle jika hendak pastikan masyarakat Cina terjaga.

Pas usah menangguk di air keruh!

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×