Rakyat derita, pemimpin pula ligat berpolitik - Utusan Malaysia

Rakyat derita, pemimpin pula ligat berpolitik

ANGGOTA penyelamat membantu penduduk berpindah ke tempat lebih selamat dengan menaiki sampan di Kampung Teluk Mahang, Paya Besar, Pahang pada 4 Januari lalu. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA minggu lepas saudara kita di enam negeri terutama Pahang, Terengganu dan Johor diuji lagi dengan banjir besar yang memaksa lebih 25,000 orang berpindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan sehelai sepinggang.

Bayangkan harta benda yang ditinggalkan walau mereka bukan hartawan dengan kedalaman air separas bumbung. Hidup mereka pasti akan bermula dengan kosong selepas kembali ke rumah masing-masing.

Tidak semuanya orang berada, sebahagian besar hanya hidup sederhana yang kais pagi makan pagi. Apabila banjir melanda, serba sedikit harta benda yang ada pasti musnah termasuk kediaman. Sudah pasti perasaan sentiasa tidak tenteram memikirkan di mana hendak cekau duit untuk memulakan kehidupan selepas banjir.

Mudahlah bagi yang berkata, ini satu bencana yang perlu dihadapi dengan tabah kerana ada hikmahnya. Klise sangat bunyinya.Tetapi mereka yang mengalami tahulah beratnya untuk berdepan dengan keadaan ini.

Pada masa yang sama pandemik Covid-19 terus menjulang dengan kes baharu melepasi 3,000 sehari. Kematian pula sudah lebih 500 orang. Sejak setahun lalu, pandemik memberikan tekanan yang bukan kecil kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah.

EKSPLOITASI

Syarikat tempat mencari rezeki mengecilkan jumlah tenaga manusia. Maka banyaklah yang terpaksa berhenti dengan wang simpanan yang tidak seberapa. Sebenarnya yang paling terkesan dengan pandemik adalah rakyat yang berpendapatan rendah.

Hakikat ini tidak dapat dinafikan. Tetapi golongan ini yang banyak ‘berbunyi’ kononnya perniagaan terjejas teruk akibat pandemik. Hakikatnya banyak yang seupaya mungkin mengekal keuntungan seperti tahun-tahun sebelum pandemik.

Cara mudah dengan kurangkan pekerja kemudian mengoptimumkan tenaga kerja yang ada. Perkudakan semahu-mahunya. Istilah yang sedap didengar ialah multitasking tetapi lebih tepat ialah eksploitasi.

Kesan pandemik kepada tauke-tauke besar ibarat ‘miskin cara orang kaya’. Masih untung dan boleh bermewah-mewah. Ini sama sekali berbeza dengan ‘miskin orang miskin.’ Tidak ada hendak kais di mana lagi.

Hilang pekerjaan bermakna tiada pendapatan. Bayangkan untuk meneruskan kehidupan dalam persekitaran yang semuanya diukur dengan wang?

PENGHINAAN

Mujurlah kerajaan tidak mengambil masa yang lama untuk melaksanakan dasar-dasar yang menjurus pemulihan ekonomi dan bantuan bersasar kepada golongan ini.

Memang benar bantuan kerajaan tidak sama dengan pendapatan yang hilang akibat Covid-19. Tetapi setidak-tidaknya boleh bernafas seketika sementara memulakan hidup dalam suasana yang baharu yang tidak pernah terbayangkan sebelum ini.

Dalam keadaan amat getir inilah mereka boleh mengukur kualiti pemimpin, antara yang berkokok menjaja retorik dan yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat. Sebenarnya rakyat tidak menuntut sesuatu yang besar pun daripada pemimpin yang datang ‘menyembah’ mereka lima tahun sekali itu.

Cukuplah bersimpati dengan keadaan hidup yang amat genting ketika ini. Caranya dengan melakukan ‘penjarakan politik’ dan tidak menganggu tumpuan kerajaan untuk membantu rakyat. Tentulah suatu yang sangat menyedihkan apabila ada pemimpin terus onar untuk merebut kuasa ketika rakyat derita.

Hal ini sebenarnya tidak boleh diterima akal yang waras. Dalam keadaan rakyat yang teruk tertekan ini ada pemimpin yang terus rancak berpolitik – terloncat-loncat mendesak diadakan pilihan raya. Mereka tidak belajarkah dengan pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang mencetuskan gelombang kedua Covid-19?

Mendesak kerajaan mengadakan pilihan raya ketika Covid-19 di kemuncak adalah penghinaan yang sangat besar kepada rakyat. Hal ini jelas menunjukkan sesetengah pemimpin hanya mengutamakan kepentingan peribadi – jawatan dan kuasa.

RASUK

Pilihan raya pun sudah tidak sampai tiga tahun lagi. Bersabarlah sikit. Hendak selamatkan diri ke mana dan kenapa? Bukan 10 tahun. Kalau terlalu mendesak, matlamat yang tidak menjurus kepentingan rakyat itu akan semakin jelas. Sembunyilah sikit supaya tidak terpampang semua yang tidak manis itu.

Pada mulanya saya tidak terkesan dengan kata-kata seorang teman, kerasukan politik boleh sahaja menghilangkan ‘hati dan perut’, sekali gus apa lagi kuasa dan kepentingan peribadi menjadi kompasnya. Susah untuk rakyat percaya wujudnya sedemikian buruk peribadi dan pekerti sesetengah pemimpin politik kita.

Tetapi buktinya sepanjang pandemik sejak Mac tahun lalu hingga hari ini, sudah beberapa kali berlaku onar dalam kalangan sesetengah pemimpin politik. Bukan sekali tetapi beberapa kali. Ini menunjukkan kecenderungan untuk terus onar adalah sangat besar.

Terbaharu Rabu lalu bersamaan 5 Januari, ketika Yang di-Pertuan Agong meredah air untuk melawat mangsa banjir di Pahang, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turun bertemu penduduk terjejas di Johor, ada segelintir pemimpin di Kuala Lumpur berteriak menuntut diadakan pilihan raya dengan segera.

Hal yang demikianlah yang membuatkan kita sukar untuk menafikan pesanan kawan saya tadi – politik yang tidak terpimpin boleh menghilangkan ‘hati dan perut’, sekaligus daripada sosok peribadi tertentu. Banjir, Covid-19 dan kegilaan berpolitik terus mengancam hidup rakyat.

PENULIS ialah Editor portal Kuseman.com.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×