Risiko bencana alam terburuk berulang

Risiko bencana alam terburuk berulang

BANJIR-BANJIR besar seperti pada Disember 2014 adalah kombinasi impak luuran sejuk diperkukuh oleh kesan fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Risiko banjir besar terutama di negeri-negeri Pantai Timur adalah tinggi semasa musim Monsun Timur Laut yang lazimnya bermula pada pertengahan November hingga Februari tahun depan.

Situasi itu dijangkakan berlaku sepertimana bencana terburuk pernah melanda Kelantan dan Terengganu pada Disember 2014 dan Disember 2006, juga di Johor pada Januari 2007 dan terbaharu Disember 2021 yang turut terkesan ke Lembah Klang.

Membangkitkan kebimbangan itu kepada Utusan Malaysia, Pakar Klimatologi Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Fredolin Tangang berkata, model-model ramalan cuaca dan iklim yang ada tidak berkemampuan untuk meramal bila dan tahap kekuatan hujan memandangkan masa Monsun Timur Laut bermula masih lama lagi dari sekarang.

Katanya, ketepatan model-model ramalan itu meningkat dalam beberapa hari sebelum hujan lebat berlaku, namun beberapa perkara boleh disimpulkan berdasarkan kajian lampau tentang apakah yang boleh dijangkakan dalam musim kali ini.

Setiap musim Monsun Timur Laut akan ada episod luruan sejuk yang merupakan tiupan angin kencang dan sejuk dari kawasan Siberia ke Semenanjung Malaysia merentasi Laut China Selatan, membawa kelembapan tinggi ke kawasan negara ini sekali gus menyebabkan episod hujan lebat dengan tempoh yang panjang dan banjir besar.

“Kehadiran fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO), pada ketika berlakunya episod luruan sejuk meningkatkan penumpuan kelembapan ke negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung dan meningkatkan lagi risiko banjir besar berlaku.

“Banjir-banjir besar sebelum ini seperti pada Disember 2014 adalah kombinasi impak luuran sejuk diperkukuh oleh kesan MJO,” katanya di sini semalam.

 

FREDOLIN TANGANG

Menurut beliau, satu lagi faktor yang boleh memperkukuh keamatan dan kekerapan hujan ekstrim di Semenanjung adalah kehadiran fenomena La Nina yang masih berjalan pada ketika ini.

Katanya, La Nina boleh dikatakan berintensiti sederhana sebagaimana kajian yang dilaksanakan pihaknya, La Nina yang berkekuatan sederhana meningkatkan penumpuan kelembapan di Semenanjung terutama di negeri-negeri Pantai Timur berbanding dengan La Nina berkekuatan tinggi dan sederhana.

Perbezaan impak ini, jelas beliau, berkait dengan corak suhu permukaan laut-laut di rantau ini yang mana semasa La Nina berkekuatan tinggi, suhu adalah sejuk dari biasa dan ini menjana peredaran atmosfera kecenderungan mengangkut kelembapan keluar dari kawasan Semenanjung.

“Ini berbeza dari semasa La Nina sederhana yang suhu permukaan laut di laut sekitar Asia Tenggara adalah lebih panas dari biasa dan ini menjana peredaran atmosfera yang meningkatkan keadaan perolakan dan penumpuan kelembapan ke kawasan kita.

“Faktor lain yang boleh menyumbang adalah pemanasan global dan perubahan iklim. Peningkatan suhu dunia meningkatkan kandungan kelembapan di astmofera dan ini akhirnya menjana hujan berintensi tinggi dan tempoh yang lebih lama.

Keadaan ini, kata beliau, pastinya akan meningkatkan risiko banjir dan situasi air pasang tinggi semasa episod hujan lebat juga akan meningkatkan risiko banjir yang teruk dan berpanjangan.

Dalam pada itu, Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, situasi sama ada terjadi banjir buruk atau tidak susah untuk diramalkan sebagaimana kejadian taufan melanda Filipina kerana ia hanya mula dikesan apabila sudah terjadi dan barulah boleh meramal perkembangan taufan di lautan dan di daratan.

Di Malaysia, katanya, hujan berterusan Monsun Timur Laut berkait rapat dengan luruan monsun dan sistem tekanan rendah atau istilah lekukan tropika.

“Jadi bila kita lihat lekukan tropika di Laut China Selatan, kita kena mula kesan lekukan ini dan cuba ramal dia mengukuh atau tidak dan di mana dia nak jatuh di daratan, adakah akan terhad di pesisir pantai timur atau dipukul oleh angin ke pantai barat seperti kes Disember 2021.

“Ia boleh dipantau melalui sistem ramalan komputer (WRF) yang terdapat di MetMalaysia. Tapi ramalan ini hanya tepat 48 jam ke hadapan saja. Lebih dari 48 jam, ramalan mula turun dari 80 atau 90 peratus ke 60 ke 50 peratus,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×