Surat kepada Agong keputusan parti - Hamzah

Surat kepada Agong keputusan parti – Hamzah

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan 12 Menteri Perikatan Nasional (PN) mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menolak pilihan raya sebelum ini adalah keputusan parti.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau menandatangani surat tersebut selaras keputusan PN yang tidak mahu mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat.

“Saya hormati cara beliau menjawab. Sebagai ‘party man’ beliau perlu akur dengan keputusan parti dan presiden

“Saya juga adalah ‘party man’ jadi perlu akur dengan keputusan parti,” katanya pada sidang media Taklimat Op Banjir di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, apa juga kenyataan yang dikeluarkannya adalah selaras dan senada dengan kehendak parti.

“Apabila parti kata tidak sesuai sekarang (pilihan raya), saya pun ikut sama (kata) tidak sesuai. Sama juga dengan beliau (Ismail Sabri) jika presidennya kata nak adakan pilihan raya sekarang beliau kena ikut,” jelasnya.

Mengulas kenyataan Ismail Sabri berhubung tindakan Menteri PN mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Hamzah berkata, ia adalah kebiasaan untuk parti menghantar surat kepada sesiapa pun.

“Seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri sebelum ini terhadap soalan sama, ia adalah normal dan tidak menjadi masalah (menghantar surat) tapi selepas beberapa hari beliau mengatakan sebaliknya. Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi PN Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, surat kepada Agong bertujuan menyuarakan kebimbangan rakyat agar PRU15 tidak dilaksanakan dalam musim tengkujuh, yang berkemungkinan berlaku banjir.

Beliau berkata, rakyat pada masa ini mahu kerajaan memberi sepenuh tumpuan kepada langkah pemulihan ekonomi, mengawal kenaikan harga barang dan menyediakan peluang pekerjaan.

“Ini merupakan antara sebab mengapa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Skuad Prihatin Nasional khusus untuk berdepan bencana banjir semasa Majlis Pelancaran Jentera PN Pahang baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan, tindakan 12 menteri Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengutuskan warkah kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membantah PRU15 diadakan tahun ini membelakangkan institusi Perdana Menteri yang dilantik oleh Seri Paduka.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan yang membawa kepada pembubaran Parlimen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×