Usah harap sangat media sosial

Usah harap sangat media sosial

MEDIA sosial menjadi saluran berita yang mudah diakses secara meluas menembusi sempadan geografi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDIA wujud kerana adanya masyarakat yang mahukan maklumat atau berita berlaku di sekeliling. Apa berlaku di sekeliling yang dianggap punya nilai berita akan dijadikan sumber maklumat untuk disantap dan dicerna oleh masyarakat. Media merakam peristiwa yang mahu disampaikan dalam bentuk penerbitan akhbar (surat khabar) atau siaran berita melalui saluran eletronik seperti televisyen dan radio.

Hari ini, penerbitan akhbar tidak lagi bergantung kepada fizikal semata-mata tetapi diperluas kepada digital. Malah, akhbar digital atau akhbar dalam talian dilihat semakin penting manakala akhbar cetak semakin mengecil atau berkurangan.

Satu lagi platform popular masa kini ialah media sosial yang juga digunakan sebagai medium menyalurkan berita dan maklumat dengan pantas berbanding akhbar konvensional. Walaupun banyak kesahihan beritanya diragui, namun media sosial menjadi saluran berita yang mudah diakses secara meluas menembusi sempadan geografi.

Hakikatnya, media dalam apa bentuk sekalipun mempunyai peranan besar dalam membentuk, mempengaruhi, membangun dan membina pemikiran masyarakat. Apa pun, media massa yang dikendalikan secara profesional membentuk entiti dan sistem tersendiri dalam prasarana komunikasi yang menghubungkan masyarakat dan kehidupan manusia sejagat. Ia menyebar informasi, mendidik, memujuk, menghibur, menyebar propaganda, membina persepsi dan pengaruh serta pelbagai tanggungjawab sosial lain.

Bagi kebanyakan organisasi termasuk agensi-agensi kerajaan, media penting bagi mereka kerana boleh dijadikan saluran perhubungan awam untuk berkomunikasi dengan kumpulan besar di luar organisasi. Ia menjadi saluran siaran berita dan memberi respons isu-isu dibangkitkan masyarakat melalui media atau luar media. Selain itu, organisasi boleh menjadikan media sebagai saluran publisiti dan wadah membina imej organisasi.

Sama ada media cetak, media elektronik ataupun media sosial yang dikendalikan secara profesional dan bertanggungjawab akan menyebarkan maklumat dan berita yang dapat dipertanggungjawabkan ketepatan dan kesahihannya. Kebebasan menyebar berita dan maklumat akan dilakukan dengan penuh tanggungjawab. Ciri keprofesionalan merangkumi semua aspek ‘jurnalistik’ (kewartawanan) sama ada dalam konteks pemberitaan, isi kandungan, penampilan serta tujuan dan kepentingannya.

Walaupun kebanyakan media yang beroperasi dibiayai oleh badan-badan atau individu-individu tertentu, namun sifat profesional tetap dijaga sebaik mungkin. Ada media yang membawa suara politik tertentu, ada yang bermotifkan ekonomi, malah ada yang bermotif agama, pendidikan, kepenggunaan dan alam sekitar.

BEBAS

Ada juga terutamanya media arus perdana sama ada cetak atau elektronik yang beroperasi sebagai syarikat bebas. Biarpun masih dilihat dipengaruhi oleh pihak tertentu, namun biasanya media arus perdana akan menampilkan sifat seimbang dalam pemberitaan atau penyebaran maklumat kepada masyarakat. Ini hasil daripada proses-proses daripada memilih bahan berita, sumber, fakta, pemakaian kata, grafik sehinggalah penyuntingan.

Pun begitu, hampir semua media massa utama tidak boleh lari daripada menerapkan aspek propaganda dan persepsi bagi pembinaan kuasa atau imej sama ada kerajaan, parti politik atau golongan dan individu tertentu. Ciri inilah yang biasa dikaitkan dengan pandangan aliran konstruksionis yang melihat kebanyakan fakta disampaikan oleh media massa akan dikonstruksikan oleh editor dengan motif tertentu. Yang penting, maklumat disampaikan tetap berasaskan fakta benar diatur oleh kaedah-kaedah tertentu dalam bingkai profesionalisme kewartawanan serta bersifat konstruktif dalam membentuk pandangan dan pendapat umum atau awam.

Dalam konteks membina negara, media yang bertanggungjawab akan cenderung berperanan sebagai agen konstruksi atau pengukuhan sosial terutama membantu kerajaan menyampaikan mesej serta menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan dengan menyalurkan suara dan kehendak. Media akan berusaha mengkonstruksi fakta supaya dapat dicerna dan difahami oleh khalayak pembaca.

Mungkin kebebasan media seperti inilah dimaksudkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini yang mahukan pengamal media di dalam negara bebas melaporkan sebarang berita bersandarkan fakta benar dan sahih. Beliau mahukan setiap media sentiasa sedar mengenai batasan dan tanggungjawab mereka dalam menyampaikan atau menyalurkan perkara sebenar serta memberikan informasi tepat dan sahih kepada masyarakat.

Ismail juga berharap masyarakat tidak hanya bergantung kepada media sosial tetapi sentiasa mendapatkan berita dan maklumat daripada media arus perdana yang dapat dipertanggungjawabkan kesahihan dan ketepatan. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×