GEORGETOWN: Kerajaan perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah penularan wabak Covid-19 dipatuhi oleh semua pihak terutama sektor perkilangan sekiranya mahu melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, Khoo Boon Lim berkata, walaupun PKP bukan satu berita baik untuk pemain industri pelancongan, mereka akan bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan lekuk penularan Covid-19 dapat diratakan.
“Tetapi pihak berkuasa kena betul-betul tegas, pastikan semua pihak ikut SOP, tutup operasi sekiranya ada jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja.
“Berita mengenai PKP bukan satu berita gembira untuk semua pihak terutama bagi pekerja-pekerja hotel, namun kita terpaksa akur jika kerajaan mahu laksanakan untuk kebaikan semua,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersasar bagi mengatasi tekanan pada sistem penjagaan kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negara kini berdepan dengan situasi yang kritikal dan memerlukan solusi ‘pemutus litar’ dalam menurunkan jumlah kes Covid-19.
Selain itu, menurut Boon Lim, pihak berkuasa juga perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan segera sekiranya terdapat peningkatan kes Covid-19.
“Pihak berkuasa perlu pastikan tiada penghuni yang lari daripada kawasan PKPD, jika ada yang lari bagaimana kita mahu bendung penularan wabak.
“SOP pencegahan Covid-19 tidak lagi boleh diabaikan dan diambil ringan memandangkan kes positif semakin meningkat di seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, semua pihak terutama majikan di pelbagai sektor juga dinasihatkan tidak mementingkan diri untuk meneruskan operasi sekiranya terdapat jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka.
“Semua pihak perlu bekerjasama, industri perhotelan turut terjejas namun kami beri kerjasama dengan pastikan SOP dipatuhi.
“Oleh itu, penggiat industri perhotelan berharap semua pihak turut sama membantu bagi memastikan jangkitan wabak Covid-19 dapat dikurangkan dan kemudian baru kita beroperasi semula,” katanya. – UTUSAN










