PRU15: Indera Kayangan ‘panas’ tumpuan parti politik ‘test market’

PRU15: Indera Kayangan ‘panas’ tumpuan parti politik ‘test market’

GAN AY LING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan ‘panas’ dan bakal menjadi tumpuan beberapa parti politik yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk meletakkan calon mereka di kerusi kubu kuat PKR itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penyandang kerusi DUN itu, Gan Ay Ling berkata, antara faktor kawasan itu menjadi tumpuan beberapa parti politik untuk bertapak adalah disebabkan oleh komposisi gabungan kepelbagaian kaum yang seimbang di situ.

Katanya, selain itu, DUN tersebut juga menjadi tempat bagi beberapa parti politik untuk mencuba nasib dan melihat kedudukan mereka di negeri Perlis.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini bagi saya merupakan satu persaingan yang sihat walaupun agak mencabar untuk bakal calon yang akan bertanding di kerusi itu,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama pengamal media Perlis di Haus Burger, Taman Muhibbah di sini hari ini.

Sebelum, selain Barisan Nasional (BN), beberapa parti politik lain seperti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) turut meletakkan DUN Indera Kayangan sebagai sasaran dalam PRU15.

PKR mula mendominasi kerusi DUN Indera Kayangan pada PRU13 lalu selepas calonnya, Chan Ming Kai menang dengan majoriti 1,092 undi mengatasi wakil BN, Por Choo Chor dan calon Bebas, Ameir Hassan.

Dalam PRU14, PKR terus mengukuhkan kedudukan di DUN berkenaan apabila Ay Ling berjaya meraih majoriti sebanyak 3,177 menerusi pertembungan tiga penjuru menewaskan calon BN, Chuah Tian Hee dan wakil Pas, Wan Hassan.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan berkenaan, Ay Ling berkata, walaupun banyak parti memberi tumpuan untuk bertanding di kerusi DUN itu, pihaknya pasti pengundi akan membuat pilihan terbaik bagi memilih wakil rakyat yang memberikan perkhidmatan kepada mereka.

“Perkembangan ini juga akan mematangkan pengundi untuk memilih calon yang terbaik dan ia bakal membuka mata buat DUN-DUN lain untuk tampilkan wakil rakyat yang berkualiti,” katanya.

Tambahnya, rakyat juga perlu bijak dalam membuat pemilihan memandangkan calon berkenaan akan memberi perkhidmatan kepada mereka untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Kita juga harap dapat kekalkan kemenangan di kerusi ini dan semua wakil rakyat PKR yang bertanding di Perlis juga perlu memberi imej baik dalam perkhidmatan mereka bagi membantu rakyat membuat pilihan dalam PRU15,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini