PADANG BESAR: Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) dan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad Padang Besar di sini sesak teruk berikutan orang ramai mengambil kesempatan cuti Hari Malaysia dan hujung minggu untuk ke Thailand.
Difahamkan orang ramai beratur seawal pukul 6 pagi di pos sempadan imigresen Malaysia-Thailand itu untuk proses dokumentasi dan sehingga pukul 12 tengah hari dilihat masih ramai yang beratur panjang.
Mereka dilihat beratur sehingga lebih 100 meter sebelum sampai giliran untuk proses dokumentasi dengan mengambil masa sekitar sejam setengah atau dua jam.
Rata-rata mereka mengambil kesempatan cuti selama tiga hari sehingga Ahad mengunjungi Hatyai, Thailand.
Di KTM Padang Besar pula, kesesakan sama berlaku sehingga menyebabkan tren ulang-alik Padang Besar-Hatyai State Railway Of Thailand (SRT) yang sepatutnya berlepas pada pukul 9.50 pagi terpaksa ditangguhkan lebih tiga jam.
Tren tersebut pada asalnya dijadualkan berlepas pada waktu tersebut, bagaimanapun empat kaunter Biro Imigresen Thailand masih tidak dapat menyelesaikan semua prosedur kemasukan pelancong sehingga tengah hari ini.
Difahamkan, kira-kira 800 penumpang akan menaiki tren ke Hatyai melalui stesen kereta api di Padang Besar itu.
Seorang pelancong, Hasmira Hashim,38, berkata, dia bersama suami dan anak mengambil masa sehingga satu jam setengah untuk selesai proses dokumentasi di pos imigresen Malaysia-Thailand di sini.
Dia yang datang seawal pukul 9 pagi selesai segala urusan tersebut pada pukul 12 tengah hari selain terpaksa beratur panjang.
“Memang kami jangka ramai akan ke Hatyai sempena cuti tiga hari ini namun tidak sangka ia terlalu ramai sehingga menyebabkan pos imigresen ini sesak teruk.
“Pada cuti sekolah baru-baru ini, orang sememangnya ramai ke Hatyai, kali ini juga keadaan hampir sama. Ramai yang memilih Hatyai untuk bercuti.
“Sejak sempadan dibuka, suasana pengunjung ke negara jiran nampaknya semakin meriah. Setiap kali cuti, keadaan penuh sesak,” katanya.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, di sebalik tukaran ringgit dan baht belum menentu, rakyat Malaysia terus berpusu-pusu melancong ke Thailand khususnya di Hatyai iaitu salah satu lokasi popular dengan pelancong sempena musim cuti sekolah.
Malah, pada minggu cuti sekolah lalu, pintu sempadan di Padang Besar sesak dengan orang ramai yang ingin berkunjung ke negara jiran itu.
Tinjauan Utusan Malaysia di Hatyai mendapati, pusat bandar di wilayah selatan Thailand itu dipenuhi pelancong Malaysia. Berjalan 10 langkah, pasti kedengaran dalam kalangan pelancong itu bertutur bahasa Melayu. – UTUSAN











