SEJAK kebelakangan ini, banyak perbincangan dibuat mengenai pelbagai gejala negatif yang berlaku membabitkan platform media sosial, Telegram.
Banyak sekali kes penggodaman akaun sekali gus penipuan berlaku membabitkan kerugian wang yang banyak.
Malah pada 8 Ogos lalu, akaun Telegram peribadi milik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri digodam oleh individu tidak bertanggungjawab.
Pada 16 Mac lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof memaklumkan, penipuan pelaburan melalui aplikasi Telegram kini dikesan semakin meningkat dan dipercayai modus operandi terbaharu digunakan kumpulan atau sindiket penipuan. Ini ekoran laporan seorang pegawai sains yang mendakwa kerugian RM20,600 selepas menjadi mangsa tawaran pelaburan mata wang asing tidak wujud melalui Telegram. Suspek memaklumkan mangsa mampu memperoleh keuntungan sehingga RM55,000 dalam masa enam jam selepas menyertai skim pelaburan itu.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengingatkan orang awam mengenai peningkatan mendadak penipuan pelaburan dipromosikan dalam Telegram yang menawarkan peluang pelaburan tidak wujud serta menjanjikan pulangan sangat menarik dan bebas risiko dalam jangka masa singkat.
Mengikut SC, skim-skim ini kebiasaannya menawarkan pulangan tidak realistik sehingga 1,000 peratus dalam tempoh 24 jam atau beberapa jam. Pihak ini menggunakan pelbagai nama termasuk menyamar atau mengklon perantara pasaran modal berlesen menggunakan nama, logo, kelayakan, laman web dan butiran lain daripada entiti yang sah bagi mempromosikan skim haram itu.
Mereka juga mewujudkan kumpulan awam di Telegram bagi mempromosikan pakej pelaburan yang kebiasaannya disertakan dengan testimoni palsu dan diiklankan sebagai patuh syariah. Pelabur yang berminat akan diminta menghantar mesej terus kepada wakil untuk memulakan pelaburan serta diarahkan mendepositkan wang ke dalam akaun bank peribadi individu yang mendakwa mewakili entiti sah dan ke dalam akaun korporat tidak berkaitan.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan pada 28 April lalu turut meminta orang ramai berwaspada dengan taktik penipuan scam di Telegram. Kenyataan tersebut berbunyi: “Terima mesej di Telegram kononnya rakan anda yang ingin meminjam wang? Tunggu, semak terlebih dahulu. Jangan tertipu dengan scammer yang menggodam akaun Telegram rakan anda untuk memperdayakan orang lain.”
Menurut Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil dalam kenyataan pada 6 September lalu, sindiket penipuan memilih untuk menggunakan Telegram berikutan aplikasi itu memaparkan identiti pengguna (ID) tanpa nombor telefon. Keadaan ini dikatakan memudahkan suspek berikutan mereka sukar dikesan tanpa nombor telefon manakala ID Telegram itu boleh diubah dari semasa ke semasa. Ini kerana aplikasi Telegram hanya memerlukan nombor telefon untuk tujuan pendaftaran serta penghantaran nombor kod keselamatan manakala untuk paparan, ia menggunakan ID bersifat pelbagai sekali gus menyukarkan pengesanan.
Ini benar sekali kerana mengikut Telegram sendiri, ia adalah aplikasi pemesejan dengan fokus pada kelajuan dan keselamatan. Ia sangat pantas, mudah dan percuma. Dengan Telegram, orang ramai dapat mengirim pesanan, foto, video dan fail daripada jenis apa pun (doc, zip, mp3 dan lain-lain) serta mencipta grup hingga 200,000 ahli atau saluran penyiaran kepada pelanggan tanpa had.
TWITTER, FACEBOOK
Orang ramai boleh menulis kepada kenalan telefon mereka dan mencari pengguna dengan nama samaran. Selain itu, Telegram menyokong panggilan suara dan video yang disulitkan dari awal ke akhir dan juga bual suara dalam grup untuk beribu peserta.
Semakin banyak negara mengambil tindakan tegas menutup terus platform Telegram kerana masalah yang dihadapi dengan tuan punyanya. Berbanding Twitter dan Facebook, Telegram lebih susah untuk dikenakan tindakan.
Pasukan pembangunan Telegram diasaskan oleh Pavel Durov dan adiknya Nikolai berpusat di Dubai. Sebilangan besar juruprogram di belakang Telegram berasal dari St. Petersburg, bandar yang terkenal dengan ramai jurutera berkemahiran tinggi, tetapi peliknya pasukan Telegram terpaksa meninggalkan Russia kerana peraturan teknologi maklumat (IT) negara itu.
Antara negara yang terkesan ialah Jerman di mana pada 11 Februari lalu, akhbar the Süddeutsche Zeitung melaporkan bagaimana kecewanya kerajaan negara itu dengan Telegram setelah gagal mendapatkan pemiliknya membuang akaun-akaun yang memuatkan ucapan kebencian dan ugutan oleh kumpulan radikal dan ekstremis.Mulanya pegawai-pegawai bertungkus-lumus untuk menjejaki alamat rasmi syarikat tersebut bagi mengemukakan komplen rasmi, tetapi kemudiannya Menteri Dalam Negeri Jerman, Nancy Faeser mengancam untuk menutup terus Telegram di negara itu di samping mengenakan denda sehingga Euro 55 juta (AS$62.4 juta).
Di negara jiran kita, Indonesia, kerajaannya melalui Kementerian Komunikasi mengumumkan pada 14 Julai 2017, ia memblok akses rakyat di seluruh negara kepada Telegram kerana ia digunakan untuk menyebarkan propaganda radikal dan keganasan, kebencian, cara untuk membuat bom, bagaimana untuk membuat serangan dan sebagainya yang bercanggah dengan undang-undang.
Begitupun, setelah ini berlaku, Durov (pengasas Telegram) menemui dan berunding dengan Menteri Komunikasi Indonesia, Rudiantara pada 1 Ogos 2017 yang mana mereka bersetuju mewujudkan prosedur ketat bagi menghalang Telegram disalahgunakan menyebabkan Indonesia bersetuju membuka balik akses kepadanya.
Dikatakan Telegram tidak sedar ada permintaan begitu daripada Indonesia dan berjanji mewujudkan komunikasi yang lebih baik. Alasan beginilah juga yang digunakan oleh Telegram bagi meminta Brazil membuka balik akses kepada rakyatnya setelah ia diblok kerana menyebarkan maklumat palsu pada 18 Mac lalu.
Sehubungan itu, dengan meningkatnya ancaman Telegram kepada negara kita dari pelbagai sudut khususnya penipuan, penyebaran maklumat palsu, pemberian ancaman keselamatan dan sebagainya, mungkin kerajaan juga perlu mengikuti jejak langkah negara-negara yang disebutkan bagi menanganinya. – UTUSAN
DR. Syed Agil Alsagoff ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media & Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia (UPM).










