Sekatan ekonomi jadi senjata perang

Sekatan ekonomi jadi senjata perang

SEKATAN ekonomi ke atas Somalia akibat peperangan menyebabkan negara itu masih kekal bergolak dan tidak stabil sehingga kini. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KRISIS tenaga yang sedang melanda Eropah ketika ini banyak disumbangkan oleh inflasi ekonomi yang tertinggi melanda benua itu sejak 40 tahun lalu. Menurut laporan Greenmatch baru-baru ini, bekalan tenaga mengalami kenaikan harga sebanyak 40.2 peratus sedangkan barangan lain seperti makanan dan bukan tenaga hanya mengalami kenaikan empat hingga enam peratus. Peperangan antara Russia dan Ukraine adalah penyebab utama kepada kenaikan harga tersebut memandangkan Russia antara pembekal utama tenaga ke benua tersebut.

Ekoran fenomena tersebut, Canselor Jerman, Olaf Scholz mengumumkan pakej rangsangan berjumlah 64 bilion Euro merangkumi subsidi gas dan petrol selain pengurangan cukai bagi memangkinkan pertumbuhan ekonomi negara Eropah Barat tersebut. Ini disebabkan kebergantungan Jerman kepada bekalan tenaga yang dieksport dari Russia berjumlah kira-kira 56.2 bilion meter kubik pada 2021, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA). Menurut IEA juga, sebanyak 22 negara Eropah mengimport gas dan petrol dari Russia dan sebahagian besar adalah anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Peperangan dua negara ini boleh dianggap peperangan pertama berlaku antara negara di Eropah dalam abad ke-21 ini. Apa yang lebih menarik perhatian ialah Ukraine bukanlah negara asing bagi Russia kerana republik itu pada asalnya sebahagian daripada jajahan Republik Russia sebelum mencapai kemerdekaan pada 1918.

Kedua-dua negara ini memainkan peranan penting dalam perdagangan dunia terutama produk berbentuk tenaga dan makanan. Russia adalah penyimpan rizab gas asli terbesar di dunia diikuti Iran dan Qatar sementara Ukraine pengeksport utama produk berasaskan jagung mewakili 16 peratus daripada eksport jagung dunia, lapor Wilson Centre. Ketegangan ini mengakibatkan kira-kira 22 juta tan gandum terkandas di republik bergolak tersebut sebelum dieksport ke negara lain.

Dalam hal berkaitan, permintaan terhadap minyak kelapa sawit pula meningkat sebagai respons alternatif kepada minyak jagung yang sedang berhadapan krisis bekalan. Bagaimanapun, impak pandemik Covid-19 masih dirasai oleh negara pengeluar terbesar kelapa sawit, Indonesia yang memaksa mereka melakukan sekatan eksport hasil minyak kelapa sawitnya untuk sementara waktu sebelum didesak oleh pihak dalam dan luar bagi memansuhkannya.

Kesemua perkara di atas memiliki kaitan rapat dengan kenaikan harga bahan bakar dan tenaga di Eropah yang bakal menyaksikan inflasi lebih buruk di benua tersebut.

Manipulasi hasil mahsul negara sebagai senjata psikologi bukanlah perkara baharu dalam dunia peperangan dan konflik. Golongan Zinkiyun di bawah pentadbiran Mahmud Nuruddin al-Zinki menggunakan pertanian sebagai senjata untuk mengukuhkan ketenteraan mereka di bumi Syam dalam memerangi golongan Salib di zaman tersebut. Sebagai tindak balas, golongan Salib atau Kristian juga menggunakan kepakaran tawanan Islam yang ditawan bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi dan pertahanan negara mereka.

Dunia moden menyaksikan sekatan ekonomi sebagai salah satu senjata perang yang ampuh bagi melemahkan sesebuah negara yang dianggap musuh oleh negara lain yang berkuasa.

Sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap Russia pada 2014 merangkumi sektor kewangan, perdagangan, tenaga, pengangkutan, teknologi serta ketenteraan.

KEBAJIKAN

Sekatan tersebut mengakibatkan kerugian kepada kerajaan Russia sebanyak AS$100 bilion. Menurut Anders Åslund (2019) dari Georgetown University, sekatan tersebut telah melemahkan ekonomi Russia sehingga hutang negara asing menurun secara mendadak daripada AS$732 bilion pada 2014 kepada AS$482 bilion (2019). Untuk catatan, memiliki kadar hutang asing yang tinggi adalah salah satu indikator positif kepada kepercayaan negara asing terhadap sesebuah negara.

Ringkasnya, senjata ekonomi digunakan sejak sekian lama dalam konflik peperangan antara mana-mana kuasa. Persoalannya, adakah kerakusan yang ditunjukkan ini membuahkan hasil atau natijah positif?

Antara sekatan yang terbukti tidak berjaya sehingga ke hari ini akibat peperangan ialah sekatan dikenakan ke atas Somalia. Sehingga hari ini, Somalia masih kekal negara bergolak dan tidak stabil, hanya 49.7 peratus populasi yang dapat mengakses kepada kemudahan tenaga elektrik sedangkan purata individu yang boleh mengakses ke tenaga tersebut adalah 87 peratus. Selain itu, kadar pengangguran yang tinggi iaitu sebanyak 19.9 peratus juga menjadikan negara di benua Afrika tersebut dikategorikan sebagai miskin dan bermasalah.

Allah SWT sentiasa mengingatkan manusia untuk sentiasa memakmurkan bumi ini dengan kebaikan dan perkara manfaat sebagaimana firmannya: “Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah orang-orang yang soleh. (Surah Ali ‘Imran: 114)

Sudah pasti mewujudkan kestabilan ekonomi itu antara perkara kebajikan yang perlu diusahakan oleh umat Islam bagi menjamin kelestarian hidup manusia. Sehubungan itu, Allah SWT secara jelas menegur tindakan kaum Madyan menipu timbangan dan sukatan yang dikaitkan dengan kerosakan di muka bumi: “Kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Ia berkata: Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman.” (Surah al-’Araf: 85)

Penipuan dalam timbangan sahaja sudah mampu menyebarkan kerosakan di alam ini, bagaimana pula kerosakan yang disengajakan dengan kepentingan terhadap kuasa dan kerakusan harta? Dunia dan Barat perlu belajar daripada kehancuran dunia akibat Perang Dunia Pertama dan Kedua. Puluhan juta manusia mati, kebuluran dan krisis kesihatan di mana-mana, adakah kita semua ingin sekali lagi berada dalam kancah tersebut sedangkan kemajuan dan kemodenan hidup manusia yang dicapai hari ini amatlah selesa berbanding dahulu?

Justeru, negara-negara Islam diharap dapat mengimbangi krisis yang berlaku dengan bersedia menjadi pembekal alternatif terhadap barangan keperluan yang kritikal supaya keperluan asasi manusia dipenuhi sekali gus mengurangkan risiko krisis kemanusiaan sebagaimana berlaku pada dekad-dekad lepas. – UTUSAN

DR. Mohd. Shahid Mohd. Noh ialah Ketua Jabatan Syariah & Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×