SETELAH hampir enam dasawarsa penubuhan Malaysia, satu soalan yang selalu ditanya ialah sudahkah rakyat secara umumnya memiliki jati diri kebangsaan yang boleh dibanggakan?
Sehubungan ini, ia merupakan ciri, kepercayaan dan perwatakan boleh dikenal pasti dengan mudah pada semua warganegara yang sepatutnya dapat dengan cepat membezakan rakyat Malaysia dengan rakyat negara lain.
Sebagai masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnisiti, sudah tentu kita tidak dapat dikenal pasti dengan mudah dan cepat melalui paras dan sifat fizikal tertentu seperti yang begitu distingtif pada sesetengah etnisiti atau nasionaliti.
Dalam pada ini, jati diri kebangsaan kita sepatutnya wujud dalam bentuk perwatakan nasional, iaitu keseluruhan tingkah laku, sikap dan aspirasi awam diperlihat seluruh rakyat dari setiap etnisiti dan di segenap pelosok yang bukan sahaja terkesan tetapi terbentuk oleh Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Ini kerana setiap peranti negara didapati tidak lekang daripada menyebut Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai terma rujukannya.
Dengan kata lain, kedua-dua ini harus dirujuk sebagai punca kuasa yang bukan sahaja simbolik sifatnya tetapi harus betul-betul berlaku untuk kesemua urusan dan ehwal negara. Sebagai terma rujukan, Perlembagaan Persekutuan, iaitu perundangan tertinggi negara untuk memberi perlindungan kepada rakyat dan Rukun Negara sebagai ideologi negara untuk melahirkan keperibadian rakyat sebagai satu komuniti nasional. Dengan ini, kedua-duanya penting untuk mencorakkan hala tuju dan struktur kehidupan kenegaraan rakyat dalam erti kata mentakrif, membangun dan mengesahkannya.
Oleh itu, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai autoriti dalam kehidupan kenegaraan rakyat bukan sahaja penting diketahui sebaik-baiknya, ia juga hendaklah dihayati sedalam-dalamnya untuk diamalkan. Ini harus berlaku kerana Perlembagaan Persekutuan memastikan hak dan keistimewaan rakyat terpelihara dengan seadil-adilnya.
Begitu juga dengan Rukun Negara yang selain berupa ideologi negara, adalah juga falsafah negara, iaitu satu set kepercayaan untuk dijadikan panduan hidup bernegara. Lantaran ini, kedua-duanya hendaklah bersifat fungsional untuk berperanan sebagai perlindungan kepada rakyat yang berhak dan gagasan untuk rakyat berperwatakan kebangsaan.
Untuk Perlembagaan Persekutuan, ia wujud dalam bentuk dokumentasi lengkap yang boleh diperoleh dengan mudah oleh rakyat jelata. Pun begitu, ia tidak banyak diketahui isinya, apatah lagi dihayati maknanya. Ini kerana ia tidak pernah ditarbiahkan dalam apa-apa bentuk formal, lebih-lebih lagi secara tidak formal, walhal ia begitu penting dalam pembentukan perwatakan nasional rakyat.
Secara umumnya, Perlembagaan Persekutuan meliputi pelbagai hal yang menyangkut kehidupan kita sebagai warganegara. Antaranya termasuklah kerakyatan, pemerintahan kerajaan Pusat serta negeri dan wilayah, pilihan raya, perundangan di mahkamah dan perkhidmatan awam. Ia juga ikut mengangkat beberapa unsur utama pada perjanjian etnik menjelang kemerdekaan 1957 yang dikenali secara longgarnya sebagai kontrak sosial.
JILID RASMI
Unsur itu ialah kedudukan agama Islam, raja, bahasa Melayu dan etnik asal dalam urus tadbir negara. Ia yang diangkat pada prinsip ketiga Rukun Negara sepatutnya diperihalkan kepada rakyat khususnya pada empat perkara kontrak sosial itu. Ini kerana bukan sahaja ia tidak diketahui langsung, tetapi dipertikai pula secara terbuka sehingga jelas memperlihat kejahilan pada sesetengah sektor rakyat.
Rukun Negara yang digandingkan dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai terma rujukan kenegaraan bersama sebenarnya langsung tidak bersifat fungsional. Ini kerana tidak pernah ada satu dokumen yang sifatnya utilitarian, yakni tentang kegunaannya untuk ditarbiahkan lima prinsip itu dengan rinci bagi merealisasikan lima aspirasi negara pada Rukun Negara itu.
Sehubungan ini, harus diakui Rukun Negara hanya wujud dalam bentuk ikrar yang dilafaz semasa majlis rasmi negara selain hafalan lima prinsip itu tanpa pun memahami kepentingan lima aspirasi negara itu.
Sepatutnya sebagai satu lagi terma rujukan kenegaraan, Rukun Negara wajib wujud dalam dokumentasi sempurna dalam satu jilid rasmi dan bukan secara eceran yang tidak jelas pun inti patinya dari segi pemahaman setiap prinsip untuk dihayati sebagai amalan nasional yang bermula di sekolah, berterusan di institusi pendidikan tinggi dan mantap dalam masyarakat.
Rentetan ini, ia yang selalu disebut bersekali dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai maqam kenegaraan yang tinggi tetapi langsung tiada apa-apa pengisian kental hendaklah diusahakan pengautoriannya agar dapat dimanfaatkan sisi kegunaannya, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Ia tidak boleh lagi terus-terusan disebut dalam semua strategi kenegaraan secara simbolik sahaja.
Dalam hal ini, Rukun Negara harus dihuraikan dengan sejitu-jitunya berdasarkan pencarian ilmu kerana ia adalah pedoman hidup bernegara untuk setiap warganegara dan juga orang asing yang ikut menghuni di sini.
Walaupun Perlembagaan Persekutuan wujud dalam bentuk fungsional, ia harus dipertingkat pengetahuan dan pemahamannya tentang empat perkara itu yang sebetulnya menyaling sifatnya. Ini bermakna wujud persetujuan dan kewajipan yang mengikat kedua-dua pihak, yakni agama Islam dan bukan Islam, raja dan rakyat jelata, bahasa Melayu dan lain-lain serta kepentingan semua pihak. Sebetulnya sifat lengkap-melengkapi antara satu sama lain ini adalah perpaduan yang amat penting untuk kita terus menjayakan negara tercinta ini. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










