HIKMAH di sebalik kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ialah supaya kita semua sedar bahawa rasuah adalah punca kepada segala masalah negara ini.
Mereka yang bergelumang dengan dosa rasuah mesti bertaubat sebelum terlambat. Semoga hukuman yang dikenakan dapat membersihkan dosa yang kalian lakukan selama ini. Merdekakan diri kita daripada dosa dan noda. Itulah harapan rakyat.
Meskipun ada yang memulaukan sambutan kemerdekaan ke-65 tahun ini, namun tetap puluhan ribu, malah menjangkau ratusan ribu rakyat turun, tanpa mengira kaum, memberikan sokongan kepada kerajaan sedia ada. Teruskanlah perjuangan membela nasib rakyat. Jangan campur tangan dalam urusan mahkamah.
Rakyat mahukan kita merdeka daripada sebarang perkara yang boleh meruntuhkan negara. Antaranya, rakyat mahu kita merdeka daripada sifat ego. Ego hanya akan meruntuhkan. Rakyat mahukan kemakmuran. Rakyat dahagakan perpaduan. Rakyat mahukan penerusan kepimpinan sedia ada.
Tidak usahlah mendesak PRU15 disegerakan. Rakyat mahu kestabilan dan keamanan. Rakyat tidak mahu inflasi berpanjangan. Rakyat mahu cukup makan. Pendek kata, rakyat menaruh harapan yang tinggi agar pemimpin dapat membawa negara keluar daripada kemelut tidak berkesudahan. Tidak perlu PRU15 tergesa-gesa.
Terimalah nasihat beberapa veteran politik dan penganalisis politik. Seperti kata Tengku Razaleigh Hamzah, bukan mudah bagi parti politik yang bertanding pada PRU15 untuk memenangi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan, terutama parti abang, UMNO dan Barisan Nasional (BN), yang berdepan pelbagai masalah ketika ini. Keadaan ekonomi dan inflasi juga antara cabaran yang terpaksa dihadapi parti itu pada PRU15.
Beberapa pertimbangan perlu diambil kira daripada pelbagai aspek sebelum PRU15 dilangsungkan. Jangan terlalu syok sendiri. Kalau setakat mendapat kajian sikap UMNO semata-mata, mungkin tidak mencukupi. Semua sedia maklum, pengundi bukan Melayu tidak mesra UMNO (BN), malah pengundi MCA dan MIC turut menolak.
Bukan Melayu lebih mesra Pakatan Harapan (PH) sejak dahulu lagi. Tiada erti banyak kerusi diberikan kepada kedua parti komponen yang menumpang tuah menang di kawasan majoriti Melayu.
Saya melihat isyarat sambutan hari kemerdekaan ke-65 ini jelas menunjukkan bahawa rakyat mahu memerdekakan negara ini daripada ego pemimpin yang hanya mementingkan diri. Rakyat mahukan perubahan, kestabilan dan keamanan.
Sudah sampai masanya kita membuka mata, mengambil tindakan sewajarnya, supaya tidak terburu-buru dalam mengambil keputusan. Perdana Menteri dan Kabinet, seharusnya memikirkan dengan serius sebelum membuat keputusan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
BARAH
Pertama, UMNO (BN) berada dalam kemelut, penuh dengan kontroversi. Satu demi satu dakwaan dan keputusan rasuah di mahkamah yang dilihat tidak pernah habis. Rakyat melihat dan menganalisis satu persatu. Apakah UMNO mempunyai kekuatan untuk menangkis semua dakwaan dan pertuduhan itu?
Kalau satu dua sabitan tidak mengapa, tetapi ramai lagi yang menunggu giliran. Kedua, ternyata hari ini rakyat bangun menolak rasuah yang boleh menghancurkan negara, lebih-lebih lagi anak muda. Rasuah menyebabkan rakyat sengsara dalam sebuah negara kaya, yang tidak sepatutnya berlaku.
Ketiga, rakyat sudah letih dan jelik melihat politik yang tidak pernah berkesudahan. Beri peluang kepada Perdana Menteri untuk fokus memikirkan dan menyelesaikan masalah rakyat. Jika ditambah tekanan politik, sudah tentu Perdana Menteri tidak ada banyak masa untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada negara. Justeru, bantulah Perdana Menteri.
Keempat, sempena dengan sambutan kemerdekaan ke-65 ini, marilah kita bersama membuat muhasabah diri. Jangan biarkan negara ini terus dicaturkan oleh mereka yang mementingkan diri. Ingatlah wahai UMNO, jika kamu masih tidak sedar, merasakan diri kuat, menekan sesama sendiri, pasti akan membawa padah.
Perdana Menteri sudah mengatakan hidup matinya adalah dengan UMNO, tidak ada yang akan berubah. Kenapa beliau terus ditekan kiri dan kanan?
Perdana Menteri kini adalah dari kalangan UMNO. Melihat kepada susuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, saya tidak nampak langsung dia akan melakukan pengkhianatan terhadap partinya sendiri. Darah dagingnya adalah UMNO.
Kelima, ingatlah kepada ketentuan Allah SWT. Setiap peristiwa yang berlaku mesti ada hikmah di sebaliknya yang kadangkala sukar untuk dicari jawapannya, melainkan Allah yang Maha Mengetahui.
Sambutan kemerdekaan ke-65 sepatutnya lebih mematangkan kita semua, bukan terus tunduk kepada nafsu ego atau mahu menyelamatkan diri sendiri. Berfikirlah sebagai seorang negarawan hari ini, tidak hanya terbelenggu dengan ahli politik.
Percayalah, ramai di luar sana yang masih menaruh harapan kepada UMNO lagi meskipun dilanda kontroversi. Pokoknya, UMNO mesti berubah, jangan terlalu ego. Muhasabah diri. – UTUSAN
DR. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ialah Profesor di Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).











