SEMASA di puncak kuasa, keadaannya seperti berada dalam kawanan serigala pemusnah. Mereka adalah manusia-manusia yang terdidik dengan sikap keras dan kejam. Berfikiran lama, taksub dan tidak mahu bertolak ansur, jauh sekali untuk menerima pandangan baharu yang meredakan perbalahan.
Sebenarnya tidak banyak pemimpin yang boleh berada dalam kawanan serigala dengan hasrat untuk melakukan perubahan dapat berfikir dan bertindak. Tidak banyak mampu berbuat demikian, apalagi setelah lebih tujuh dekad diasuh doktrin angkuh yang menolak kesejahteraan.
Memimpin sebuah persyarikatan 14 negara yang dikomuniskan di Eropah Timur bukan mudah. Sekalipun Kesatuan Soviet tertampil sebagai kuasa besar yang menggerunkan Barat, tetapi mundur.
Sekalipun dalam kekangan sedemikian, dia berjaya melakukan beberapa perkara yang mustahil pada era dekad terakhir abad ke-20. Maka ternyatalah dia bukanlah calang-calang apabila boleh berdiri dalam kawanan serigala dan melakukan mengikut yang dipercayai betul.
Demikian bekas Presiden Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev yang meninggal dunia pada usia 91 tahun, Selasa lalu. Kedudukan sebagai antara pemimpin penting abad ke-20, sejarah mengingatinya sebagai individu yang meruntuhkan negara-negara blok komunis Eropah Timur, membuka ‘tirai besi’ dan mengundurkan tentera di Afghanistan.
Keberanian dan keyakinan berdiri di atas kepercayaan, sekalipun dikelilingi kawanan serigala, dia memulakan gagasan kestabilan geopolitik dua kuasa besar, Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara blok komunis di Eropah Timur. Itu sejarah penting dekad terakhir abad ke-20 yang tidak mungkin terkubur.
Kesatuan Soviet didirikan di atas 14 negara yang ditakluk komunis. Russia salah sebuah negara pengasas Kesatuan Soviet menjadi dominan kerana saiz dan pengaruh yang besar. Daripada negara-negara ini, ada beberapa negara dihuni masyarakat Islam.
Bagaimanapun, komunis menghapuskan agama mereka selama tujuh dekad dan mendapat semula selepas keruntuhan Kesatuan Soviet pada 1991. Rakyat negara-negara itu sangat terhutang dengan Gorbachev, juga dibesar dan diasuh ideologi komunis.
Gorbachev seorang yang terbuka dan berfikiran luas. Disebabkan bersikap sedemikian, maka dilihatnya tujuh dekad Kesatuan Soviet hanya penuh dengan rasuah, buruh tidak berdisiplin dan kilang-kilang mengeluarkan barangan yang rendah kualiti. Ini amat mendukacitakan.
Ketika mengambil alih tampuk kepimpinan, Kesatuan Soviet adalah kuasa besar dunia yang dibebani ekonomi sangat lemah. Malah, menjadikan persyarikatan negara komunis itu hampir mati. Dasar kerajaannya yang tertutup rapat hingga menghalang cahaya perubahan sampai kepada masyarakat.
Dalam jangka masa enam tahun di puncak kuasa, perkara pertama yang digerakkan adalah dasar penyusunan semula dan bersikap terbuka dalam mendepani perbezaan. Dua istilah bahasa Russia yang senama dengan Gorbachev adalah perestoika yang bermaksud penyusunan semula dan glasnost (terbuka).
Waktu itu Perang Dingin terus menjadi halangan kestabilan politik dunia. AS menggerakkan seluruh jentera propaganda – dari sisi geopolitik hingga seni pop. Hollywood yang menjadi kilang filem AS dikerah melancarkan perang psikologi memberi tanggapan buruk pada Kesatuan Soviet.
PERANG DINGIN
Propaganda ini adalah sebahagian daripada ‘doktrin Truman’ yang digerakkan oleh Presiden AS ketika itu, Harry Truman. Inilah juga sebahagian wacana Perang Dingin antara kapitalisme dan komunisme.
Secara rasmi Perang Dingin bermula 12 Mac 1947 apabila Truman terlibat melalui pintu belakang dalam pengusiran komunis yang mengancam Turkiye dan Greece. Caranya dengan menyalurkan bantuan kewangan dengan alasan membangunkan ekonomi kedua-dua negara itu.
Dasar-dasar terbuka Gorbachev akhirnya menamatkan Perang Dingin pada 26 Disember 1991. Ini sebenarnya lanjutan daripada runtuhnya satu demi satu negara-negara blok komunis Eropah Timur.
Bermula di Baltik di bahagian utara, kemudian merebak ke Latvia, Lithuania, Estonia dan seterusnya 13 negara lain. Negara-negara itu menuntut pembebasan daripada Kesatuan Soviet. Diikuti runtuhnya Tembok Berlin yang memisahkan Jerman Barat dengan Jerman Timur, sekutu Kesatuan Soviet.
Disebabkan keterbukaan, Gorbachev tidak bertindak seperti banyak pemimpin sebelumnya. Dia tidak menghantar bala tentera ke Jerman Timur pada 9 November 1989 untuk mengekalkan dominasi komunis. Malah, menganggap keruntuhan Jerman Timur adalah hal ehwal dalaman Jerman.
Sementara itu, dalam tempoh lima bulan sahaja, Gorbachev telah menamatkan kemelut campur tangan Kesatuan Soviet di Afghanistan. Sebenarnya tempoh lima bulan pada 1989 yang sangat luar biasa bagi Gorbachev kerana dasarnya dilihat meruntuhkan Kesatuan Soviet.
Semua yang berlaku – runtuhnya Tembok Berlin, berakhirnya Perang Dingin dan menarik balik tentera di Afghanistan adalah mimpi menjadi kenyataan. Sebelum itu, tidak ada pemimpin, sama ada di pihak AS atau Kesatuan Soviet yang menggerakkan usaha reformasi ke arah dunia lebih aman khususnya di blok Barat dan Timur.
Walaupun dunia menganggap Gorbachev sebagai wira, tetapi dia terus berdepan dengan kelompok yang taksub dengan dasar dan ideologi lama Kesatuan Soviet. Banyak pemimpin yang taksub dengan dasar lama menganggap pergolakan hingga runtuhnya Kesatuan Soviet sebagai satu bencana.
Musuh politiknya, Vladimir Putin yang kini menjadi Presiden Russia menganggap runtuhnya Kesatuan Soviet sebagai satu malapetaka paling dahsyat pada abad itu. Putin yang juga veteran agensi rahsia KGB membentuk lingkaran untuk menyingkirkan Gorbachev.
Pada Ogos 1991, ketika Gorbachev bercuti di luar negara, pasukan tentera melancarkan rampasan kuasa. Musuh politiknya, Boris Yeltsin mengambil peluang keemasan menangkap penyokong-penyokong Gorbachev.
Rampasan kuasa itu menandakan berakhirnya era Gorbachev sekali gus Kesatuan Soviet. Selepas itu Yeltsin menjadi Presiden Russia dan bukan lagi Kesatuan Soviet.
Sekalipun begitu, Gorbachev tidak pernah berduka dengan keruntuhan yang dilakukan. Dia lebih percaya pada keterbukaan dan meraikan peta baharu Eropah selepas berakhir eranya. – UTUSAN
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.











