“Saya mesti kuat. Itu pesan ibu yang menjadi azimat dan membakar semangat saya selama ini bagi mencapai kejayaan hari ini,” kata Ratu Terjun Negara, Datuk Pandalela Rinong Pamg kepada Seri.
Anak kelahiran Kampung Kupuo Jugan, Bau, Sarawak itu, tidak mudah menyerah kalah dengan apa jua cabaran kerana sudah biasa dengan jerih-perih kehidupannya yang dibesarkan dalam serba kekurangan.
Jadi, tidak hairanlah dia kelihatan tenang saja berdepan apa juga yang mendatang sesuai dengan maksud di sebalik namanya, Pande (Pandai) loghat Sarawak dan Rinong (tenang) dalam bahasa Bidayuh.
Difahamkan, nama berkenaan diberikan oleh ibunya, Hartini Lamim yang menahan sakit hendak bersalin di dalam kereta tetapi akhirnya bayinya (Pandalela) itu selamat dilahirkan sebaik tiba di hospital.
“Saya dan tiga lagi adik beradik iaitu abang dan dua adik perempuan dibesarkan dalam keluarga susah tetapi dididik dengan budi pekerti, adab dan menghormati orang lain khususnya mereka yang lebih berusia.
“Mak selalu menasihatkan kami supaya serius dan bertanggungjawab dalam melaksanakan kerja yang diamanahkan, belajar bersungguh-sungguh dan tidak sambil lewa untuk berjaya,” katanya yang baru pulang dari sukan Komanwel di Birmingham baru-baru ini.
Keberanian tarik perhatian jurulatih
Beliau berterima kasih pada bapanya, Pamg Joheng yang membawa mereka sekeluarga berpindah ke Kuching ketika beliau berusia 8 tahun, seterusnya membuka laluan untuknya menceburkan diri dalam sukan terjun.
“Dibesarkan di kampung, kami tidak didedahkan dengan sukan, apatah lagi sukan terjun. Terjun pun orang tak tahu. Bila sebut diving ramai yang ingat ia adalah aktiviti menyelam skuba.
“Selepas berpindah ke Kuching, kerana mengikut ayah bekerja sebagai kontraktor, saya belajar di sekolah Cina. Di sekolah rendah, ada jurulatih akuatik datang ke sekolah untuk pilih bakat baru. Saya antara yang terpilih untuk belajar berenang,” katanya.
Suatu hari ceritanya, ketika sedang belajar berenang, beliau ternampak papan terjun berketinggian lima meter di situ dan meminta izin daripada jurulatih untuk cuba terjun.
Rasanya begitu seronok. Ia mengimbau zaman kanak-kanaknya ketika di kampung dulu.
“Ketika di kampung dulu, memang seronok bermain air sungai walaupun tidak pandai berenang.
“Saya dan rakan-rakannya akan beramai-ramai terjun tapi hanya di dalam air yang cetek saja.
“Selepas melihat saya terjun, jurulatih kata saya boleh pergi jauh dan badan saya pun agak fleksibel. Minat saya pun terjurus pada sukan itu. Beliau menyuruh saya menyertai pasukan kebangsaan dan daripada situ, saya berangan-angan hendak pergi ke Olimpik dan berjaya mewakili negara ke Olimpik Beijing pada tahun 2008 ketika berusia 15 tahun,” katanya.
Bagaimanapun beliau tidak membawa pulang sebarang pingat pada penampilan sulungnya di temasya sukan itu kerana kebetulan sedang mengalami kecederaan di bahagian bahu.
Hasil kerja keras, beliau akhirnya berjaya membawa pulang pingat gangsa menerusi acara terjun 10 meter di Olimpik London, 2012.
Kemenangan itu menjadikan beliau atlet wanita pertama Malaysia berjaya memenangi pingat sukan Olimpik dan atlet Malaysia pertama menang pingat selain badminton pada sukan berkenaan.
Gemar bergaya ringkas
Biarpun kelihatan agak keletihan kerana tidak tidur berikutan masih mengalami jet lag selepas pulang dari Birmingham, wajahnya tidak lekang dengan senyuman malah setiap pertanyaan yang dilontarkan dibalas dengan sebaiknya serta bersemangat.
Menggayakan gaun labuh berona krim digandingkan dengan jaket denim, membuatkan wanita yang sudah mencecah usia 29 tahun itu tetap kelihatan anggun ditambah solekan tipis saja dikenakan pada wajahnya.
Sememangnya beliau gemar tampil ke mana saja dengan gaya sederhana ditambah pula jadualnya yang sentiasa padat, gaya ringkas menjadi pilihan.
Permintaan Seri mengadakan sesi penggambaran khas bersamanya juga terpaksa di tolak kerana jadual hariannya sudah dipenuhi dengan latihan bagi mempersiapkan diri untuk menyertai perlawanan seperti Asia Games dan Olimpik di Paris 2024.
“Bagi Olimpik Paris, saya perlu melayakkan diri dulu dan semoga tiada aral melintang untuk tujuan itu. Semuanya memerlukan saya menumpukan masa untuk pertandingan sepenuhnya. Jadual pula padat dengan rutin kecergasan dan gim sebanyak tiga kali seminggu.
“Sebab itu saya lebih suka tidur bila ada masa lapang bagi merehatkan badan selepas menjalani latihan enam kali sehari, lapan jam sehari. Kalau ada masa lapang, saya buat aktiviti memanjakan diri seperti urutan badan dan merawat wajah,” katanya yang memiliki kulit cantik tanpa cela.
Berbanding ketika namanya mula dikenali dalam bidang sukan terjun, kulitnya lebih bersinar kerana mengamalkan diet lebih sihat seperti mengurangkan gula dan produk susu. Malah, Pandalela mengaku, ketika remaja beliau agak tertekan dengan dunia baharu sukan tetapi kini, dia lebih matang berdepan tekanan.
Kawal minda sebelum terjun
Pandalela mengaku kadang-kadang terlampau banyak berfikir seperti risau dengan kecederaan dialami menyebabkan tekanan tanpa disedari.
Namun semua itu ditolak ke tepi sebaik berada di papan terjun bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada pertandingan. Pandalela mengakui semakin berusia, badan tidak mahu ‘mendengar cakap’, menyebabkan tuah kadang-kadang tidak menyebelahinya walaupun sudah melakukan yang terbaik.
“Masa muda tenaga memang kuat. Lompatan pun tinggi. Itu sebab saya perlu rehat yang cukup kerana badan perlu masa untuk pulih. Jadi, saya kena dengar cakap badan. Sudah tentu ada masanya saya juga akan keluar bersama rakan seperti orang lain.
“Saya kini lebih matang mengatasi sebarang tekanan dan memang tidak dinafikan sebagai atlet yang dikenali, saya perlu menjaga diri bagi mengelakkan sebarang kontroversi. Masa untuk sukan, saya tumpukan sepenuhnya tetapi saya menjadi diri sendiri bila bersama rakan dan keluarga,” katanya.
‘P.Zero1 tentang diri saya’
Ingin melakukan sesuatu yang baharu selain sukan terjun, Pandalela kini menerokai industri NFT dengan mencipta karya seni digital beliau sendiri, dikenali sebagai P.Zero1.
Karya itu menceritakan kisah hidupnya iaitu daripada seorang gadis Bidayuh yang tidak punya apa-apa, kini dikenali di seluruh dunia sesuai dengan maksud yang tersirat di sebalik perkataan P. Zero1. P (Pandalela) dan Kosong (Zero) kepada seseorang (1).
“NFT ini adalah salah satu yang saya buat luar dari sukan terjun. Ramai ingat atlet ini cuma fikir terjun saja. Hakikatnya ramai yang melakukan apa yang orang lain buat seperti menyambung pengajian sehingga ke universiti. Kami juga ada impian dan sesetengahnya menjalankan bisnes sendiri.
“NFT P.Zero1 adalah pelaburan yang saya buat walaupun ia mencabar saya untuk belajar dan mencuba perkara baharu. Kita perlu sentiasa berusaha untuk membuat penemuan diri dan terus berkembang dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi,” katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran NFT P.Zero1, baru-baru ini.
Direka oleh artis digital Nicholas Chuan, NFT eksklusif itu adalah produk kolaborasi antara syarikat pengurusannya Knight Communications dengan Prime Sports NFT P.Zero1 yang memaparkan lukisan potret beliau dan aksi lipatan badannya ketika sedang terjun.
Potret itu dibida selama tujuh hari sehingga 31 Ogos lalu pada harga bermula RM2,000 melalui Opensea.
NFT adalah token unik yang wujud dalam blok rantai, bermaksud ia tidak boleh ditiru. Ia boleh mewakili sesuatu produk dalam dunia sebenar seperti karya seni atau muzik serta boleh diniagakan.










