Kartel daging: Empat direman, SPRM percaya syarikat besar turut terlibat - Utusan Malaysia

Kartel daging: Empat direman, SPRM percaya syarikat besar turut terlibat

EMPAT individu direman SPRM bagi membantu siasatan berhubung isu kartel daging di Senai, Kulai, Johor. - UTUSAN/BAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Aktiviti penyeludupan yang dilakukan kartel daging import haram berkemungkinan melibatkan syarikat ternama dengan kuantiti import yang besar.

Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata, berdasarkan pengalaman siasatan suruhanjaya itu, apa sahaja kes berkaitan ‘kartel’ sudah pasti terdapat penglibatan syarikat-syarikat besar.

Bagaimanapun kata beliau, SPRM tidak boleh menumpukan siasatan berdasarkan keadaan semasa sebaliknya mereka juga perlu meneliti kuantiti import dalam tempoh lima sehingga 10 tahun sebelum itu.

“Kita akan melihat adakah syarikat-syarikat tersebut mematuhi syarat import daging yang ditetapkan oleh kerajaan atau tidak,” katanya ketika ditemubual melalui telefon dalam rancangan bual bicara di sebuah stesen televisyen semalam.

Terdahulu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias mengesahkan empat individu termasuk dua pengarah syarikat berusia antara 39 tahun hingga 50 tahun direman SPRM bagi siasatan berhubung isu penyelewengan itu.

Kesemua mereka yang ditahan adalah individu yang terlibat dalam dua syarikat yang melakukan import dan borong.

“Siasatan terhadap kesemua suspek dibuat mengikut Seksyen 17B Akta SPRM 2009,” jelasnya.

Dalam pada itu, dua aspek siasatan diberi tumpuan oleh SPRM berhubung isu penyeludupan daging sejuk beku yang dikatakan dibawa masuk secara haram dari beberapa negara yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Kedua-dua aspek itu adalah kesalahan mengemukakan pengisytiharan palsu dalam borang Kastam 1 oleh syarikat pengimport dan ejen yang mengendalikan kemasukan bahan mentah sejuk beku berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, aspek kedua adalah meneliti dan mengkaji sebarang bentuk pembayaran rasuah melalui akaun-akaun syarikat yang terlibat.

Menurut beliau, beberapa siri serbuan dan rampasan ke atas dokumen-dokumen pengimportan sejak tahun 2015 telah dibuat sejak dua minggu lalu.

“Kita akan mengkaji semua dokumen dan akaun-akaun syarikat yang terlibat dalam mengesan keseluruhan dalang termasuk anggota penguat kuasa yang terlibat dalam melindungi kegiatan ini.

“Penahanan ke atas kesemua suspek itu hasil serbuan di beberapa syarikat pengimport bahan mentah sejuk beku di sekitar Johor dan siasatan dilakukan mengikut seksyen 18 dan 17 (a) Akta SPRM 2019,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×