Tak nak mati dalam derhaka - Zizi Kirana - Utusan Malaysia

Tak nak mati dalam derhaka – Zizi Kirana

Zizi Kirana
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKATAAN seksi itu sendiri sudah cukup sinonim dengan penyanyi rap wanita, Zizi Kirana, sejak sekian lama.
Bahkan, setiap kalinya dia juga tidak pernah lekang menerima teguran dan kritikan peminat termasuk warga net yang mengusik, mengasak, menyuruh dan memaksanya untuk menutup aurat atau sekurang-kurangnya tampil dengan imej yang lebih sopan.
Iyalah, sudah namanya wanita Islam. Kalau bertudung tetapi memakai baju sendat ketat pun sudah dianggap seksi. Apatah lagi jika terang-terangan sengaja menayang lurah. Boleh tercabut serban Pak Haji yang tertengok.
Maka apabila Zizi kononnya dikhabarkan sudah memadam semua foto-foto seksi dalam media sosial sekali gus memberi bayangan transformasinya ke arah imej baharu, ada yang seakan tidak percaya. Sudah. Tidak perlu ragu-ragu. Jawapan Zizi ada di sini.

Tindakan memadam foto-foto seksi dalam Instagram mengundang buah mulut warganet. Boleh jelaskan kenapa?
Saya menerima satu perutusan khas daripada ibu. Selama 35 tahun hidup, itu adalah pertama kali ibu berbuat demikian yang menyebabkan saya rasa sudah tiba masa untuk berhenti berimej seksi. Sebab itu juga saya padam semua-gambar seksi dalam media sosial.

Boleh kongsikan apakah mesej yang dihantar oleh ibu kepada Zizi tersebut?
Mesej yang dihantar menerusi whatsapp itu sangat panjang. Saya tak dapat nak sebut satu-satu cuma intipati utamanya dia meminta supaya saya tidak tampil seksi lagi. Mengenali ibu, dia bukanlah seorang yang suka menasihatkan anak dengan panjang lebar. Itu yang membuatkan saya rasa sangat terkesan sampai menangis. Dulu-dulu, apa sahaja yang saya buat, dia tak pernah bising. Cuma adalah berpesan agar saya jaga diri kerana dia tahu anaknya yang seorang ini sangat degil.

Bila seorang ibu melakukan sesuatu yang di luar kebiasaannya, sebagai anak, ada tak timbul rasa risau?
Tak ada pula. Cuma rasa selama ini saya bodoh sebab tak sedar diri. Lalai sangat. Sekarang Tuhan tegur diri melaluinya. Ibu saya tak pernah bercakap kasar atau menengking. Jadi menerusi mesej yang dihantar, saya tahu itu adalah satu luahan isi hati nuraninya yang selama ini dipendam. Bila baca, saya tanya semula diri sendiri ‘Zizi, kau nak masuk syurga ke neraka? Syurga tu bawah telapak kaki ibu tahu. Kalau ditakdirkan saya mati dulu, adakah saya nak mati dengan cara melawan kata emak?

Zizi bukan tak pernah menerima teguran tetapi sebelum ini dilihat tak peduli sangat. Mengapa kali ini berbeza sehingga betul-betul nak berubah?
Saya memang jenis tak dengar cakap orang tetapi sebab perkara ini datangnya daripada ibu, maka apa lagi alasan untuk saya tak nak dengar? Ada ketika saya rasa hairan juga sebab kebelakangan ini kalau boleh sentiasa mahu berkongsi rasa, cerita, nasihat dan segala-galanya dengan ibu.Sebelum ini, tak pernah langsung begini. Saya suka buat hal sendiri. Sebab itulah sebelum ini saya pernah keluarkan kenyataan bidas warganet yang bising-bising pasal isu seksi. Kalau ibu saya tak bising, buat apa orang luar pula nak sibuk? Nah.. sekarang ibu dah bersuara.

Kiranya Zizi sudah benar-benar nekad nak berubah? Betul tidak akan menyesal?
Buat apa nak menyesal sebab saya percaya ini semua adalah kuasa Tuhan juga. Dia yang telah aturkan. Lagipun, cukup-cukuplah seksi ye tak? Pernah tak bila kita tengok gambar-gambar lama kemudian tiba-tiba rasa menyampah dengan diri sendiri? Itulah yang saya rasakan bila tengok gambar seksi sendiri kebelakangan ini. Tak tahu kenapa. (ketawa).

Ada juga timbul spekulasi Zizi sudah hendak bertudung. Betul ke ni?
Belum lagi. Ibu pun ada pesan, dia harap saya boleh berubah secara perlahan-lahan. Dia kata, kalau betul saya nak pakai tudung, pastikan ia datang daripada hati ikhlas. Jika tidak, perkara itu akan bersifat sementara sahaja. Ibu cuma berharap saya tak seksi saja lagi. Tetapi, andai kata saya sendiri memang hendak bertudung, Alhamdulillah. Baguslah.

Bagaimana pula dengan spekulasi enggan seksi sebab nak kahwin? Komen?
Okey, yang ini saya nafikan sekeras-kerasnya. Berubah bukan sebab nak berkahwin apa lagi saya sendiri pun tak tahu siapa calon suami.

Selain lagu, Zizi juga mencipta populariti menerusi imej seksi. Tak takut terjejaskah nanti?
Tak langsung. Malah, sejak saya sudah berimej sopan, makin ramai yang menghubungi pengurus untuk tawaran-tawaran kerja, duta dan sebagainya. Tawaran untuk program televisyen Islamik pun ada. Beginilah, jangan takut soal rezeki. Kalau niat betul dari awal, saya percaya mesti ada perkara-perkara baik yang akan datang pada kita.

Sejak bila mula tampil sopan sebenarnya?
Saya sendiri lupa bila. Rasanya mungkin sekitar pertengahan tahun lalu yang mana perubahan itu datang dengan sendirinya. Mesej ibu mungkin sebagai satu penggerak, tetapi sebenarnya perubahan itu sudah saya buat tanpa saya sendiri sedar. Semasa terlibat dengan rakaman lagu Purnama dengan kumpulan nasyid Unic, saya rajin juga bertanya pada ustaz Fakhrul banyak perkara tentang keagamaan. Mungkin juga berkat doa ibu dan orang sekeliling jadi semuanya dipermudahkan.

Bagaimana penerimaan teman-teman rapat dan orang industri mengenai hal ini?
Alhamdulillah, kawan-kawan faham, pereka fesyen dan jurugaya saya pun menghormati keputusan ini. Malahan, saya sebenarnya menerima banyak mesej daripada rakan-rakan industri termasuk ustaz Fakhrul dan Bazli Unic yang memuji perubahan ini. Ustaz Ebit Lew pun ada menghantar mesej pada saya mengucapkan kata tahniah. – Jawablah! Pancaindera

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×