PADA 15 Mei lalu, dalam Persidangan Agung Khas UMNO, 2,586 perwakilan dari 192 bahagian seluruh negara meluluskan secara sebulat suara pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO. Fasal 10.16 asal memberi hak kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menangguhkan pemilihan tidak lebih 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan atau tidak lebih enam bulan selepas diadakan sesuatu pilihan raya umum (PRU) yang mana terkemudian.
Usul pindaan ini dibentangkan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan UMNO dan disokong oleh Naib Presiden yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Seperti lazimnya, pindaan ini segera dikemukakan pada 17 Mei lalu oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) selari dengan peruntukan Seksyen 11(1)(b) Akta Pertubuhan yang berbunyi: “Tiadalah sesuatu pertubuhan berdaftar boleh meminda aturan-aturannya dengan tiada terlebih dahulu mendapat kebenaran Pendaftar.”
Kelulusan secara sebulat suara pindaan ini dan sokongannya oleh Ismail Sabri pastinya meletakkan beliau dalam kedudukan amat sukar dari sudut parti sekiranya tidak diluluskan oleh RoS atas apa-apa sebab sekalipun. Ada pihak-pihak tertentu malah menuduh Ismail Sabri sebagai bersandiwara tatkala menjadi penyokong kepada usul pindaan ini sedangkan beliau sebenarnya dikatakan mahu pemilihan UMNO dibuat sebelum PRU15 dilangsungkan.
Teori yang dikemukakan oleh pihak-pihak ini ialah jika pemilihan UMNO dibuat sebelum PRU15 maka Ismail Sabri dengan kedudukan sebagai Perdana Menteri pasti akan menang mudah sebagai Presiden parti. Secara logiknya, jika Ismail Sabri mahu menguatkan kedudukan dalam UMNO maka beliau akan berusaha memastikan pindaan ini ditolak atau diterima oleh RoS tetapi hanya dikuatkuasakan selepas pemilihan seterusnya.
Ini kerana menjadi Presiden sebelum menempuh PRU15 akan memberi kelebihan kepada Ismail Sabri menggunakan kuasa menyampaikan watikah calon untuk memilih para penyokong beliau dalam PRU15. Sebaliknya, jika pindaan ini diterima oleh RoS maka status quo barisan kepimpinan UMNO sekarang akan kekal di mana para penyokong Ismail Sabri, malah mungkin beliau sendiri boleh diketepikan sebagai calon UMNO dalam PRU15.
Lumrahnya, budaya politik UMNO mahupun parti-parti politik lain ialah mereka yang menang dalam PRU dilantik menganggotai Kabinet. Oleh itu, membenarkan pemilihan UMNO dibuat selepas PRU15 sudah semestinyalah bukan pilihan baik jika Ismail Sabri adalah ahli politik rakus yang bercita-cita untuk mengumpulkan kuasa pada diri sendiri.
BERSATU
Turut berhadapan tuduhan sama adalah Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang didakwa akan menggunakan kuasa beliau bagi mengarahkan RoS menolak pindaan ini. Rasional yang digunakan adalah memaksa UMNO mengadakan pemilihan sebelum PRU15 pastinya memberi kelebihan kepada Bersatu yang dianggap saingan utama UMNO dalam PRU 15.
Begitupun di sebalik semua sangkaan ini dan di sebalik kebimbangan pemimpin-pemimpin UMNO untuk mengadakan pemilihan dalam waktu terdekat atau untuk berpindah kepada apa-apa pelan lain, sebaliknya pula berlaku. Pada lewat petang Jumaat lalu, Ketua Pengarah RoS, Mohd. Nawardi Saad secara senyap-senyap tanpa apa-apa publisiti menyerahkan kepada pegawai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, surat kelulusan pindaan ini .
Kelulusan adalah sedikit pengubahsuaian di mana Fasal 10.16.1 berbunyi: “MKT berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, bahagian dan cawangan. Penangguhan ini tidak lebih dari enam bulan selepas diadakan sesuatu PRU Parlimen (Dewan Rakyat) tertakluk kepada satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal PRU Parlimen (Dewan Rakyat).”
Inilah juga sebenarnya pindaan dibuat ke atas Perlembagaan MCA yang diluluskan oleh RoS sebelum ini, iaitu kebenaran menangguhkan pemilihan enam bulan selepas PRU berlangsung tanpa ada pilihan ke atas penangguhan pemilihan selama 18 bulan. Memasukkan syarat bahawa satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal PRU Parlimen (Dewan Rakyat) juga adalah langkah bijak RoS bagi memastikan kelonggaran ini tidak disalahgunakan untuk mengurangkan amalan demokrasi dalam UMNO.
Ini seperti dinyatakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pada 20 Mei lalu bahawa pindaan asal yang mempunyai aspek pilihan akan membolehkan pemegang jawatan memanjangkan jawatan tiga tahun menjadi lapan tahun enam bulan.
Sepertimana disebut oleh Ahmad, terima kasih perlu diucapkan kepada Mohd. Nawardi yang sentiasa bersikap tenang dan tidak melatah dalam melaksanakan tugas, begitu juga Hamzah di atas keprofesionalan menangani perkara ini. Eloklah juga jika mereka yang menuduh Ismail Sabri mahu mensabotaj parti dapat bertaubat dan memohon ampun dengan Allah kerana memfitnah kerana terbukti kini Ismail Sabri ‘orang parti’ yang fikirkan kepentingan parti dan tidak fikirkan kepentingan sendiri. – UTUSAN
DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pegawai Khas Perdana Menteri.











