KUALA TERENGGANU 8 Julai- Korobori Pengakap Kebangsaan 2018 yang menghimpunkan kira-kira 7,000 pengakap kanak-kanak seluruh negara disempurnakan perasmiannya oleh Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.
Keberangkatan baginda disambut oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya serta Pegawai Kewangan negeri, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim.
Yang turut hadir, Ahli Pangkuan Diraja Terengganu; barisan Exco kerajaan negeri; Mufti negeri, Datuk Dr. Zulkifly Muda; Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Dr. Shafie Salleh dan Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Terengganu, Datuk Abdullah Taib.
Selain pengakap kanak-kanak, kira-kira 400 pemimpin dan 300 petugas juga bersama dalam program selama empat hari ini di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail Kuala Nerus di sini.
Berucap dalam majlis tersebut, Dr. Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri berbesar hati menerima kedatangan ahli-ahli pengakap dari seluruh negara.
“Saya yakin aktiviti dan program menarik yang disusun oleh pihak urusetia sepanjang program banyak memberi manfaat kepada para peserta untuk untuk dijadikan panduan dan pengalaman yang berharga,” ujarnya.
Katanya, pengakap dikenali dengan kerja-kerja membangunkan sahsiah kanak-kanak dan remaja dengan menyemai nilai hidup yang baik.
“Sememangnya soal moral dan kerohanian merupakan perkara yang sangat penting dalam pembangunan modal insan.
“Tumpuan yang ditonjolkan pengakap adalah selari dengan dasar kerajaan negeri yang menitikberatkan soal pembangunan modal insan berasaskan prinsip Islam,”ujarnya. -UTUSAN ONLINE











