KOTA BHARU 8 Julai – Penderitaan pesakit kanser, diabetik dan buah pinggang yang sedang mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mendapat sokongan daripada Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) menerusi bantuan wang tunai serta sumbangan hamper.
Sumbangan itu, diserahkan secara terus kepada para pesakit berkenaan oleh Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamed sempena Majlis Mesra Aidilfitri dan Sumbangan Zakat untuk Pesakit Kanser, Diabetik dan Buah Pinggang anjuran Yayasan Kaseh Kanser OKB di Wad 26 HRPZ II, di sini hari ini.
Shiekh Ahmad Dasuki berkata, sumbangan tersebut merupakan menifestasi sokongan badan berkenaan kepada pesakit yang sedang mendapat rawatan.
“Untuk melawan penyakit ini bukan satu tugas mudah dan memerlukan sokongan padu dari semua pihak.
“Jadi hari ini kami tampil untuk meredakan sedikit tekanan yang dialami oleh para pesakit,” katanya.
Shiekh Ahmad Dasuki memberitahu, beliau berharap para pesakit terus tabah mengharungi cabaran melawan penyakit berkenaan.
Katanya, sokongan padu itu mampu menjadikan mereka terus gagah berdepan ujian tersebut.
“Alhamdulillah, hari ini kami berjaya mengagihkan sumbangan kepada 100 penerima,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











