KUALA LUMPUR 8 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan pihaknya membekukan sebuah akaun bank yang diwujudkan untuk membantu bayaran ikat jamin bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang arahan pembekuan akaun berkenaan.
“Pihak berkenaan sepatutnya merujuk kepada bank untuk mengetahui apakah punca akaun tersebut dibekukan.
“Cara laporan yang disiarkan dalam beberapa media tempatan seolah-olah menunding kepada SPRM membekukan akaun tersebut. Saya sendiri tidak tahu sekiranya ada arahan lain, jadi sebaiknya pihak terbabit merujuk kepada bank untuk mengetahui lebih lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Ketua Wanita UMNO Bahagian Pekan, Zalmah Abdul Rahman berkata, tabung tersebut yang ditubuhkan atas inisiatif UMNO bahagian itu difahamkan telah tidak berfungsi pada awal pagi semalam.
Kutipan derma tersebut bertujuan membantu Najib membayar sebahagian lagi wang ikat jamin berjumlah RM500,000 pada Isnin ini. – UTUSAN ONLINE











