Serius bangunkan Pahang Barat - Utusan Malaysia

Serius bangunkan Pahang Barat

INDUSTRI tenusu berpotensi untuk dikembangkan bagi menjamin bekalan makanan dalam negara dan mengurangkan kebergantungan kepada produk import. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak dinafikan secara perbandingan, daerah-daerah di Pahang Barat lebih ketinggalan daripada daerah-daerah lain khususnya Kuantan. Oleh sebab itulah, kerajaan Pahang kini menekankan keperluan untuk memaju dan menyeimbangkannya.

Antara usaha-usaha itu ialah cadangan penubuhan Majlis Pembangunan Wilayah Pahang Barat Plus dan menghidupkan kembali Program Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP) Pahang Barat (bermula 1983 dan dibubarkan 2006) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021 – 2025).

Sepertimana kita tahu, Pahang Barat meliputi daerah-daerah Bentong, berkeluasan 183,100 hektar, Raub (227,100 hektar), Lipis (519,800 hektar) dan Cameron Highlands (71,200 hektar) dan Plus pula merujuk kepada daerah Bera (221,400 hektar).

Oleh itu, Pahang Barat Plus keseluruhannya berkeluasan 1.22 juta hektar atau lebih sepertiga keluasan 3.6 juta hektar Pahang dan hampir menyamai saiz Terengganu seluas 1.3 juta hektar.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyebut tentang keperluan memajukan Pahang Barat Plus ini dalam ucapan Belanjawan 2021 negeri pada persidangan Dewan Negeri, pertengahan November lalu.

Beliau kemudian mengu­langinya dalam mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ICC ECER) Negeri Pahang 11 Disember lalu, membuktikan lagi keseriusannya mengenai hal tersebut.

“… kita akan tertumpu kepada cadangan pembangunan bagi kawasan di Pahang Barat, yang agak ketinggalan berbanding lain-lain daerah di Pahang menyebabkan kurangnya peluang pekerjaan dan keusahawanan di Pahang Barat, maka berlakulah penghijrahan penduduk dari sini ke kawasan lain.

“Oleh itu saya berharap, Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC (Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur) dapat memberi perhatian dan keutamaan untuk membangunkan lagi kawasan Pahang Barat,” katanya.

PELANCONGAN

Beliau seterusnya mencadangkan antara lain – usaha menarik lebih banyak pelaburan yang dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan serta melaksanakan projek-projek pembangunan berkaitan pelancongan dan pertanian di kawasan Pahang Barat ini.

Dalam hal ini, sudah tentunya kedudukan Pahang Barat sebagai gerbang kemasukan pelancong ke Pahang, perlulah dimanfaatkan lagi bagi menarik kedatangan pelancong dari Pantai Barat Semenanjung.

Sepertimana kita tahu, Pahang ialah pengeluar terbesar sayur-sayuran dan pengeluar terbesar kedua buah-buahan di Malaysia. Pahang Barat sahaja merupakan penyumbang terbesar pengeluaran buah-buahan termasuk durian, bernilai RM1.5 billion.

Ini bermakna, Pahang Barat sangat berpotensi untuk dibangunkan projek pertanian berskala besar, komersial dan berteknologi tinggi terutama tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serta ternakan.

ECERDC sendiri merangka Pelan Strategik Pembangunan Pahang Barat berkaitan usaha membangunkan daerah-daerah Pahang Barat menerusi tiga kluster ekonomi iaitu pelancongan, pertanian dan infrastruktur.

Di bawah kluster ekonomi pelancongan, sasaran Pahang Barat ialah meningkatkan lagi pelancong domestik bagi kunjungan harian atau hujung minggu (day or weekend tripper) terutama dari Lembah Kelang.

EKO KEMBARA

Ini bukan sekadar tertumpu kepada kawasan tanah tinggi sedia popular seperti Genting Highlands dan Cameron Highlands, malah ke tempat-tempat tarikan lain seperti kawasan pelancongan Eko Kembara bertemakan Jejak Harimau Malaya (Malayan Tiger Trail) termasuk di jajaran landasan keretapi Merapoh, Lipis ke Gua Musang, Kelantan.

Menerusi inisiatif pelaburan swasta pula, pembangunan pelancongan di Bentong dan Raub khususnya di Jeram Besu misalnya, turut melibatkan pewujudan high end eco resort termasuk kemudahan restoran dan kedai cenderamata.

Di bawah kluster ekonomi pertanian, antara yang dicadangkan ialah projek perintis pembangunan industri bioaromatik di Pusat Bio Herba, Technology Park Malaysia (TPM), Raub di atas tanah seluas 20.23 hektar yang akan diurus dan dibangunkan.

Industri bioaromatik ini berasaskan tanaman nilam (patchouli) memenuhi piawaian antarabangsa bagi pengeluaran produk wangian, minyak pati dan bahan perasa makanan yang dapat memberi kesan limpahan hingga memanfaatkan penduduk setempat dan negara.

Pembangunan industri tenusu juga akan terus menjadi tumpuan di daerah-daerah Pahang Barat termasuk ternakan berskala besar dan sederhana di kawasan padang ragut seluas 202.42 hektar milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Lipis.

Di bawah kluster ekonomi infrastruktur pula, tumpuan akan terus diberikan antaranya ke arah siapnya projek Central Spine Road (CSR) Kuala Krai, Kelantan hingga ke Simpang Pelangai, Bentong sepanjang 347 kilometer.

Dengan siapnya projek ini bakal membuka lebih banyak kawasan kepada pembangunan yang lebih pesat di sepanjang jajarannya, selain memudah dan memendekkan perjalanan antara satu destinasi ke satu destinasi berkenaan.

Selain itu, sudah tentulah usaha menggalakkan kemasukan pelaburan ke daerah-daerah Pahang Barat akan diperhebatkan lagi. Sehingga kini (tempoh 2018–November 2020), nilai pelaburan komited hanyalah kira-kira RM2.3 bilion daripada kira-kira RM10.17 bilion seluruh Pahang.

Daripada RM2.3 bilion ini pula, sebahagian besar daripadanya atau, RM1.92 bilion tertumpu ke daerah Bentong yang lebih hampir kedudukannya dengan kawasan-kawasan maju di Lembah Klang.

Oleh itu, sudah tiba masanya daerah-daerah Pahang Barat termasuk Bera, dibangunkan secara lebih strategik dan komitmen tinggi kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Wan Rosdy untuk menjayakannya adalah sangat dihargai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×