KUANTAN – Seorang pelancong wanita warga emas dari China berusia 67 tahun ditemui selamat tengah hari tadi selepas dilaporkan hilang semalaman di Gunung Berembun, Cameron Highlands.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd. Sani Harul berkata, San Mui Hui, 67, yang berasal dari Hong Kong dilaporkan hilang pada pukul 8.30 malam semalam.
Menurut beliau, mangsa bersama beberapa rakannya mendaki gunung tersebut pada petang semalam untuk bersiar-siar sebelum disedari hilang.
Berita berkaitan:
“Sepasukan lapan anggota ditugaskan untuk mencari dan menyelamat mangsa bermula pukul 9.22 malam (kelmarin) sebelum ditangguh pada pukul 1 pagi (semalam).
“Selepas operasi disambung semula, mangsa ditemui pukul 12.44 tengah hari tadi di laluan turun dari puncak Gunung Berembun,” kata beliau menerusi satu kenyataan kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Sani menambah, mangsa yang diberi makan dan minum sejurus ditemui seterusnya dihantar ke Hospital Cameron Highlands untuk pemeriksaan kesihatan. – K! ONLINE











