Pengusaha kedai makan beli bawang Holland - Utusan Malaysia

Pengusaha kedai makan beli bawang Holland

Harga bawang India dikatakan mahal ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Harga bawang besar yang mahal mendorong pengusaha kedai makan dan restoran beralih kepada bawang besar Holland yang lebih murah sebagai bahan masakan.

Seorang pengurus kedai borong di Seremban Jaya dekat sini, Nurul Syakirah Mohd. Zaini Tee berkata, pihaknya sering mendengar rungutan pengusaha restoran berhubung harga bawang besar import India yang mahal ketika ini.

“Memang harga bawang besar India sekarang ini meningkat, jika dibandingkan pada bulan September ia dijual RM3.10 sekilogram namun harga terkini mencecah sehingga RM7.50 sekilogram.

“Bagi pembeli biasa mereka tidak merungut sangat cuma yang ada kedai makan dan restoran memang mereka mengeluh dengan harga bawang besar India sekarang, untuk mengurangkan kos mereka guna bawang besar Holland yang harganya kini sekitar RM4.50 sekilogram,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, ujarnya selain bawang besar India, cili merah juga berlaku kenaikan harga kebelakangan ini.

“Ketika ini harga cili merah di pasaran adalah sekitar RM20.50 sekilogram selepas peruncit memperolehnya pada harga RM19.50 daripada pemborong, peningkatan harga diperhatikan berlaku sejak dua minggu lalu. Setakat ini stok tiada masalah sama ada bawang besar atau cili merah cuma ada berlaku kekurangan stok bagi bawang kecil merah ros sahaja,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga kedai makan di Medan Selera Taman Desa Rhu, Sikamat, dekat sini, Norhafizah Salim berkata, memang kebanyakan peniaga di situ tidak lagi menggunakan bawang besar India sejak lebih sebulan lalu.

“Sekarang memang kami menggunakan bawang Holland sahaja, bawang besar memang kami tak beli langsung sejak harganya naik kira-kira sebulan lalu.

“Rasa masakan memang berbeza kerana guna bawang besar lebih sedap tapi tak berbaloi untuk digunakan kerana harganya mahal, kami juga tak mahu naikkan harga makanan nanti pelanggan marah dan lari pula,” katanya.

Bagi seorang peniaga kedai makan di Chembong, Rembau, Muhammad Alif Mohd Hatar, 31, berkata, walaupun harga bawang besar India makin meningkat, dia masih menggunakan bawang yang sama bagi mengekalkan rasa makanan yang dijualnya.

“Dulu bawang empat kilogram baru sahaja harganya RM10, kini harga meningkat sekali ganda sehingga RM20. Sebagai peniaga memang kita harap agar harga bawang dan juga sayur ni turun balik seperti dulu kerana kenaikan harga ini meningkatkan kos,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×