SEPANG: Presiden Perancis, Emmanuel Macron tiba di Malaysia hari ini untuk memulakan lawatan rasmi dua hari bagi memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Pesawat membawa Macron, isteri Brigitte Macron serta anggota delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.10 malam.
Ketibaan beliau disambut Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Macron kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Majlis sambutan ketibaan diserikan dengan persembahan kebudayaan yang turut menampilkan tarian tradisional, sekali gus mencerminkan kekayaan dan kepelbagaian warisan budaya Malaysia.
Lawatan atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan kunjungan rasmi pertama Macron ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan sebagai Presiden Perancis pada Mei 2017.
Esok, Macron akan diberikan upacara sambutan rasmi di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, disusuli mesyuarat dua hala dengan Anwar.
Pertemuan itu dijangka menumpukan kepada usaha meningkatkan hubungan Malaysia-Perancis ke tahap Perkongsian Strategik, mencerminkan keutuhan serta kepentingan strategik hubungan yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin turut dijadualkan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) meliputi bidang kerjasama strategik termasuk pertahanan, pendidikan tinggi, mineral kritikal dan peralihan tenaga.
Anwar juga akan menganjurkan Majlis Makan Tengah Hari bagi meraikan Presiden Perancis itu.
Pada 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dengan Perancis mencecah RM17.78 bilion (AS$4.17 bilion).
Eksport Malaysia ke Perancis pula bernilai RM6.05 bilion (USD1.41 bilion), dengan produk elektrik dan elektronik merupakan kategori eksport utama.
Import dari Perancis pula berjumlah RM11.73 bilion (USD2.76 bilion), sebahagian besarnya terdiri daripada peralatan pengangkutan, jentera dan bahan kimia.
Perancis merupakan rakan dagang ke-21 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat terbesar dalam kalangan negara Eropah.-BERNAMA











