IPOH – Pengendali Perak, Mehmed Durakovic menepis spekulasi di media sosial yang mengaitkan dirinya akan kembali membimbing pasukan Selangor pada saingan Liga Malaysia musim depan.
Jelasnya, beliau menolak khabar angin yang tersebar itu dan masih meneruskan tugasnya sebagai pengendali Perak pada musim ini.
“Saya telah mengendali pasukan Perak dalam tempoh masa yang lama. Saya juga mahu memenangi kejuaraan bersama Perak pada musim ini.
“Semasa sedang sibuk dalam saingan Piala Malaysia, terdapat pula spekulasi ini terhadap saya. Ini terpulang kepada mereka untuk menilai mengenai perkara itu,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Perak di sini malam tadi.
Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan terdapat khabar angin yang kini tersebar secara meluas di media sosial mengatakan pengendali Perak itu berada dalam radar Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
Menurut laporan itu, Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon bagaimanapun enggan mengesahkan mengenai perkara itu namun, tidak menafikan khabar angin itu.
Dalam pada itu, tegas Durakovic, beliau menafikan khabar angin tersebut dan akan terus membimbing skuad The Bos Gaurus sehingga penghujung saingan Piala Malaysia musim ini. – K!ONLINE











