Tidak masuk akal angkat darjat komunis - Utusan Malaysia

Tidak masuk akal angkat darjat komunis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

USAHA pihak tertentu mahu memasukkan peranan komunis sebagai pejuang kemerdekaan adalah melampau dan tidak wajar. Nampaknya mereka semakin berani menentang arus pemikiran masyarakat sedangkan jelas komunis bukan pejuang kemerdekaan tetapi pengganas dan pembunuh.

Kita tidak nafikan peranan komunis untuk menentang British dan Jepun malah perkara itu ada disebut dalam buku teks sekolah. Penentangan mereka secara perang gerila juga sudah diketahui umum.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, yang kita nampak dengan jelas ialah mereka melancarkan gerakan bersenjata membunuh ribuan polis dan orang awam. Kita juga tahu mereka menjalankan anarki dan memusnahkan harta benda awam. Ribuan nyawa tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman komunis.

Angka rasmi kerajaan menunjukkan 1,444 anggota polis terkorban, 1,883 cedera manakala 2,558 orang awam turut terkorban akibat keganasan komunis. Angka itu adalah rekod rasmi, tentu lebih ramai mangsa jika berpandu angka tidak rasmi.

Teori fahaman komunisme memang cantik – mewujudkan masyarakat yang adil, tanpa kelas dan membantu golongan proletariat menghadapi golongan borjuis yang dianggap menindas. Tetapi matlamat itu dihitamkan oleh cara-cara yang digunakan iaitu rampasan kuasa, peperangan, pembunuhan dan penyeksaan.

Memang dalam buku teks sekolah ada menyentuh perjuangan komunis menentang kerajaan British hingga berlaku peristiwa Darurat 1948-1960.

Nama seperti Chin Peng, Rashid Maidin dan Chen Tian turut disentuh khususnya peristiwa Rundingan Baling tahun 1955.

Jadi, apa lagi yang golongan tersebut hendak? Adakah mahu memperincikan peranan komunis menentang British dan meletakkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan? Jika demikian, rakyat akan menentang sekeras-kerasnya.

Perjuangan berdarah komunis telah menimbulkan luka dan sejarah pahit yang sukar dilupakan oleh rakyat negara ini. Ramai bekas tentera yang masih hidup, yang cedera teruk terkena tembakan, bom dan jerangkap samar komunis.

Peristiwa Batang Kali, Kelian Intan dan banyak lagi menjadi tragedi dahsyat yang kekal dalam catatan sejarah tanah air.

Maka, usaha pihak tertentu untuk cuba mengangkat pengganas komunis sebagai wira yang perlu didendangkan memang tidak masuk akal malah pakar-pakar sejarah tanah air tidak bersetuju sama sekali.

Pakar sejarah, Profesor Dr. Khoo Kay Kim, Profesor Datuk Datuk Ramlah Adam dan Dr. Teo Kok Seong telah bersuara dalam isu itu.

Sarang tebuan janganlah dijolok. Janganlah cuba membangkitkan kemarahan rakyat yang sudah menerima komunis sebagai gerombolan petualang yang berusaha mewujudkan pemerintahan yang membelakangkan agama melalui peperangan.

Kita menyeru kerajaan jangan melayan tuntutan pihak-pihak sebegini. Mereka masih belum lahir ketika segala episod durjana berlaku. Kita mahukan sebarang forum atau perbincangan tentang isu ini jangan dibenarkan lagi berlangsung.

Saham komunis dalam perjuangan kemerdekaan sangat minimum dan tidak layak untuk diberi kredit. Apa yang dinyatakan dalam buku teks tentang perjuangan komunis sudah memadai dan biar dikekalkan.

Janganlah perasaan rakyat dirobek semula. Rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian pasti tidak rela usaha menjulang komunis disambut dan dijadikan kenyataan.

MUSTAFFA SIRAJ

Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×