BEIJING 10 Okt. – Wilayah Xinjiang akan melaksanakan undang-undang penyeragaman baharu terhadap program anti keganasan di `pusat-pusat pendidikan semula’ yang telah mengundang kritikan hebat ekoran penahanan hampir sejuta penduduk, majoritinya umat Islam.
Semakan semula undang-undang baharu itu yang diluluskan semalam menggesa kerajaan tempatan untuk menangani keganasan dengan mewujudkan `pusat-pusat pendidikan vokasional’ yang akan mengendalikan `tranformasi pendidikan terhadap individu yang terpengaruh dengan ekstrimisme’.
Menurut laman sesawang kerajaan tempatan, undang-undang itu menetapkan pusat terbabit perlu mengajar bahasa Mandarin, konsep undang-undang, latihan vokasional dan `pendidikan pemikiran’.
Seramai sejuta orang dipercayai telah ditahan di pusat-pusat tahanan di Xinjiang kerana dikatakan sebagai pelampau agama, kumpulan pemisah dan melakukan keganasan.
Undang-undang terdahulu yang dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu turut menyenaraikan larangan mempamerkan imej agama antaranya berjanggut dan memakai hijab. – AFP











