KUANTAN – Dua lelaki anggota Geng Along berusia 21 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat 12 kes samun dan ragut di sekitar daerah ini pada sepanjang tempoh tiga bulan sejak Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Noor Yusuf Ali berkata, kedua-dua penganggur itu ditahan di sebuah rumah di Taman Kempadang Makmur 1 di sini pada pukul 2.45 petang, 22 September lalu.
Mohd. Noor menambah, melalui tangkapan itu, polis merampas tiga utas gelang kaki, seutas rantai leher, dua bentuk cincin, 26 keping wang asing pelbagai denominasi, 12 telefon bimbit serta sebuah motosikal jenis Yamaha 125z.
“Semua hasil samun dianggar bernilai RM10,000. Polis turut merampas dua bilah parang berukuran kira-kira 60 sentimeter yang dijadikan senjata ketika melakukan samun dan ragut.
“Suspek ini menyasarkan wanita dan warga emas di kawasan perumahan sebagai mangsa. Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini pagi tadi.
Ujar beliau lagi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat jika sabit kesalahan di mahkamah.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Noor berkata, pihaknya membuka lapan kertas siasatan berhubung laporan palsu melibatkan kes samun dan ragut sejak Julai lalu.
“Kebanyakannya membuat laporan palsu kerana tidak mahu membayar denda disebabkan kehilangan kad pengenalan. Dua daripada mereka telah disabitkan kesalahan dan dikenakan denda RM1,500” katanya. – K! ONLINE











