KUANTAN – Calon Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh yakin 99 peratus undian pemilihan di Pahang bagi jawatan Timbalan Presiden PKR akan berpihak kepada Rafizi Ramli.
“Saya yakin, 99 peratus undian di Pahang hari ini akan berpihak kepada Rafizi,” ujar beliau selepas membuang undi pada proses pemilihan peringkat Cabang PKR Kuantan di Hotel Seri Malaysia di sini pukul 12.30 tengah hari tadi.
Bagi pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan kali ini, Rafizi dicabar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Mengulas berhubung kelancaran proses pemilihan di semua 14 cabang di seluruh Pahang hari ini, Fuziah berharap ia berjalan dengan aman tanpa kejadian tidak diingini sehingga waktu pengundian ditutup pada pukul 5 petang ini.
Hari ini, kira-kira 30,000 ahli PKR Pahang menjalankan tanggungjawab mereka untuk memilih kepimpinan parti itu. – K! ONLINE











