KUANTAN 2 Okt. – Orang ramai gempar apabila dua buah kereta terbakar dalam kejadian di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pukul 12.42 tengah hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd. Sani Harul berkata, kejadian itu mengakibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi musnah.
Katanya, sebuah lagi kereta jenis Proton Saga yang diletakkan di hadapan Perodua Myvi tersebut turut mengalami kebakaran lima peratus semasa kejadian itu.
“Kereta berkenaan diletak di kawasan letak kenderaan berhampiran HTAA. Tiada kecederaan dilaporkan kerana pemilik kedua-dua kereta tidak berada di dalam kenderaan semasa kejadian,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, Perodua Myvi berkenaan merupakan milik seorang kakitangan yang bertugas di hospital tersebut. – UTUSAN ONLINE











