PORT DICKSON 2 Okt. – Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad menganggap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kawan lamanya justeru beliau tidak akan menyerang Presiden PKR itu secara peribadi dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Berikutan itu, beliau menasihatkan pemimpin-pemimpin PKR yang lain agar tidak terlalu ghairah menyerang peribadinya kerana tindakan itu boleh memalukan parti mereka sendiri.
“Bukan saya tetapi orang lain boleh sahaja menyerang peribadi calon dari PKR jika serangan peribadi itu dilakukan berterusan.
“Serangan peribadi ini tidak baik dan lebih baik dihentikan jika kita hendak menarik sokongan pengundi,” katanya kepada pemberita selepas berkempen di rumah penduduk Kampung Arab di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas serangan peribadi terhadapnya dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) di Kampung Pachitan di sini, malam tadi.
Walaupun Anwar tidak terbabit dalam perbuatan itu, beberapa penceramah lain menyerang Mohd. Isa apabila mengaitkannya dengan isu virus Nipah dan skandal Felda.
Mohd. Isa turut menyerahkan kepada pengundi untuk menilai sendiri sama ada hendak mempercayai tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
“Sehingga kini, saya tidak disabitkan dengan apa-apa kesalahan berkaitan Felda manakala virus Nipah yang pernah berlaku di negeri ini bukan disebabkan oleh saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











