KUALA LUMPUR 2 Okt. – Papan tanda amaran di lokasi strategik perlu dipasang bagi mengingatkan orang awam tentang bahaya lemas di kawasan berisiko tinggi selain menggantikan papan tanda yang rosak.
Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihak berkuasa perlu menyediakan anggota penyelamat di pantai tumpuan ramai dan menyediakan pelan tindakan pantas melibatkan Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa berkaitan sekiranya berlaku kecemasan.
“Kerajaan juga harus mewajibkan pihak berkuasa tempatan untuk meletakkan alat pengapungan peribadi (PFD) di lokasi berisiko tinggi dan bot rekreasi untuk kegunaan sewaktu kecemasan.
“PFD tidak semestinya mahal dan negara-negara tertentu telah menggunakan PFD yang berkesan, murah dan tidak mudah dirosakkan selain boleh dibuat dengan mengitar semula bekas air plastik terbuang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau mengulas kejadian dua pelajar lemas ketika bersama dua rakan lain berenang di Lagun Boardwalk di Setiu, Terengganu, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, kematian lemas boleh dicegah sekiranya semua agensi dan pihak berkuasa bersikap proaktif dan tidak menunggu sehingga tragedi berlaku sebelum mengambil sebarang tindakan.
Pada masa sama, jelasnya, pihak berkuasa juga perlu menyenaraikan kawasan yang mempunyai risiko supaya tindakan pencegahan boleh diambil untuk mengurangkan bilangan kes lemas.
“Pihak berkuasa tempatan yang mempunyai bidang kuasa ke atas aktiviti air mesti diarahkan mengambil langkah-langkah drastik untuk mengelakkan lemas seperti melakukan audit yang lebih kerap di kawasan terbabit, meletakkan papan tanda amaran yang mencukupi di zon bahaya dan memagar lombong terbiar.
“Pihak berkuasa juga harus menggunakan papan tanda keselamatan seragam yang dibangunkan oleh Pertubuhan Standard Antarabangsa (ISO) yang dikenali sebagai ISO 20712-1: 2008,” katanya. – UTUSAN ONLINE











