KUALA LUMPUR 2 Okt. – Seorang penganggur dihukum penjara tiga tahun dan sebatan sekali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan melakukan rompakan dan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas seorang warga Nepal, awal bulan lalu.
Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Ananth Priya, 31, namun hukuman terhadap rakannya yang turut mengaku bersalah, K. Jeianran, 19, ditangguhkan sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 1 November ini.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompak dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas seorang pengawal keselamatan, Chandra Bahadur Limbu, 29, di Lorong Titiwangsa 8, Taman Titiwangsa, Wangsa Maju, di sini pada pukul 7.50 pagi, 1 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Mahkamah memerintahkan Ananth Priya menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada hari kejadian.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, N. Joy Jothi memohon hukuman setimpal atas alasan kesalahan serius namun Ananth Priya yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia perlu menanggung keluarga dengan pendapatan RM1,500 sebulan sebagai mekanik. -UTUSAN ONLINE











